KTM 1290 Super Duke GT Dilancarkan – Harga dari RM125,080
Setelah diperkenalkan di pertunjukan motosikal EICMA di Milan pada bulan November tahun lalu, KTM 1290 Super Duke GT akhirnya tiba di Malaysia menerusi pengedar rasmi Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd. Motosikal jenis ‘sport touring’ itu ditawarkan pada harga RM125,080 termasuk GST.
Apa yang menarik tentang Super Duke GT ialah ia berkongsi komponen dengan model naked 1290 Super Duke R, menjadikannya antara motosikal sport touring yang terpantas di dunia. Ini termasuk enjin LC8 V-twin berkapasiti 1,301 cc yang dilengkapi dengan teknologi seperti dwi pencucuhan, suntikan bahan api elektronik, Ride-by-Wire, dan klac ‘slipper’. Hasilnya adalah 173 hp dan 144 Nm yang disalurkan melalui kotak gear enam kelajuan.
Super Duke GT mempunyai kerangka jenis Trellis yang dipadankan dengan suspensi semi-aktif WP di bahagian hadapan dan belakang, serta tayar bersaiz 120/70 R17 (hadapan) dan 190/55 R17 (belakang). Motosikal seberat 228 kg ini didatangkan dengan tempat duduk berketinggian 835 mm dan jarak roda kira-kira 1,482 mm.
Kuasa membrek pula datang dari cakera brek 320 mm dengan kaliper empat piston Brembo di bahagian hadapan dan brek cakera 240 mm dengan kaliper dua piston di bahagian belakang. ABS juga disertakan sebagai ciri standard.
Ciri-ciri standard lain yang boleh didapati termasuklah Electronic Cruise Control, ‘quickshifter’, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), kawalan cengkaman pelbagai mod (multi-mode traction control), pemanas grip, lampu membelok LED dan juga lampu isyarat LED dengan fungsi pembatalan automatik.
Untuk perjalanan jarak jauh, Super Duke GT menawarkan tangki minyak sebesar 23 liter, subframe dengan tapak pannier, tempat duduk yang selesa serta cermin depan boleh laras. Di samping itu, pelanggan juga boleh memilih untuk memasang Hill Hold Control (HHC) and Motor Slip Regulation (MSR) yang menghalang tayar belakang dari tergelincir.
No Comment