Lamborghini Blancpain Super Trofeo Pecah Rekod Dengan 50 Penyertaan
Penyertaan Lamborghini Blancpain Super Trofeo pusingan Eropah mencecah 50 buah kereta Huracán LP 620-2 di Spa-Francorchamps, Belgium hujung minggu ini. Kini dalam edisi kelapan, siri ‘one-make’ tersebut yang terhad kepada kereta jenama Lamborghini mencapai satu rekod baru di litar yang akan menjadi hos untuk perlumbaan 24 jam Blancpain GT Super Series Endurance Cup.
Dengan bilangan peserta terbesar di dunia, Lamborghini Blancpain Super Trofeo Eropah menjanjikan aksi sengit di antara pelumba muda dan berpengalaman seperti Frank Biela dari Jerman. Beliau yang pernah memenangi 24 Hours of Le Mans sebanyak lima kali akan membuat kemunculan dengan pasukan Dörr Motorsport bersama-sama dengan pemandu rookie Arne Hoffmeister.
Penonton dijangka akan dihidangkan dengan persaingan sengit dalam kesemua empat kelas yang dipertandingkan. Bermula dari kelas Pro, Dennis Lind yang meraih kemenangan berganda pada pusingan lalu di Paul Ricard kini mendahului senarai kedudukan pelumba, diikuti oleh Vito Postiglione dengan beza sembilan mata. Di belakang Postiglione adalah pelumba Croatia iaitu Martin Kodric yang bertekad untuk menaiki podium setelah tiga kali menduduki tempat ketiga dan sekali di tempat kedua dalam empat perlumbaan terakhir.
Harald Schlegelmilch dari Artline Team Georgia juga tidak sabar untuk beraksi, begitu juga dengan pasangan Nicola De Marco dan Fabrizio Del Monte dari Orange 1 Team Lazarus yang ingin mengulangi kejayaan yang dicapai di Monza.
Dalam kelas Pro-Am, perlumba Rik Breukers, Adrian Amstutz, dan juara bertahan Patrick Kujala yang mendapat empat kemenangan setakat ini dipisahkan dengan perbezaan hanya satu mata. Di belakang mereka adalah pasangan Konrad Motorsport iaitu Nicolas Armindo dan Harry Hassid, dan Andrea Fontana dan Lorenzo Veglia yang mewakili Antonelli Motorsport.
Juara Blancpain Super Trofeo 2013 iaitu Andrea Amici akan berlumba sekali lagi dengan Dimitri Deverikos dalam kereta milik Raton Racing. Satu-satunya pelumba wanita dalam program Pemandu Muda Lamborghini Squadra Corse, Sarah Bovy juga akan bersaing di laman sendiri bersama-sama dengan Ben Gersekowski dari Australia.
Dalam kelas AM, pasukan Imperiale Racing akan diwakili oleh Steve Tandy, yang mendahului kedudukan di hadapan Amir Krenzia dari Vincenzo Sospiri Racing. Dalam Piala Lamborghini, Tim Richards dari Toro Loco masih mendahului senarai selepas kemenangan di Silverstone dan Paul Ricard. Beliau mempunyai kelebihan 14 mata di hadapan Gerard Van der Horst.
Perlumbaan 24 jam Spa-Francorchamps akan bermula Sabtu ini dan akan berakhir pada hari Ahad keesokannya.
No Comment