Pandu Uji – Toyota Hilux 2.8G (AT) Generasi ke-8
Sejak diperkenalkan di Jepun pada tahun 1968, Toyota Hilux terus menempa nama sebagai sebuah trak pikap yang kukuh dan boleh dipercayai terutamanya di kalangan pemilik perniagaan yang memerlukan kenderaan serba-boleh. Ia menjadi salah satu produk global Toyota yang paling berjaya, dijual di lebih 180 pasaran di seluruh dunia dan dipasang di 12 negara.
Walaupun asalnya direka untuk kerja-kerja berat dalam bidang komersial, Hilux semakin popular digunakan sebagai kenderaan persendirian seperti kereta biasa – satu trend yang menjadi-jadi sejak dari lewat 70-an lagi. Kini berada dalam generasi ke-8, Hilux sekali lagi menetapkan penanda aras baru dalam segmen pikap dengan gabungan reka bentuk yang lebih berani dan pilihan enjin yang lebih berkuasa dan efisyen.
Reka Bentuk
Ditawarkan dalam bentuk ‘single cab’ dan ‘double cab’, Hilux terbaru tampil dengan imej keseluruhan yang lebih gagah tetapi bergaya seperti kereta sedan biasa. Muka hadapannya memperlihatkan reka bentuk lampu yang lebih garang, ditemani oleh gril krom dengan tiga batang mendatar. Dari tepi, garis badan yang beralun memberikan sentuhan ‘lembut’ supaya tidak kelihatan terlalu bersegi.
Secara spesifiknya, varian 2.8G yang kami pandu uji ini merupakan model paling lengkap yang ditawarkan. Ia didatangkan lengkap dengan lampu projektor LED serta lampu nyalaan siang sebagai ‘kening’. Lampu ini juga akan terus menyala 30 saat selepas enjin dimatikan untuk pencahayaan ketika kita sedang berjalan untuk memasuki rumah. Selain itu, terdapat juga lampu kabus hadapan serta rim aloi 18 inci yang cukup bergaya.
Jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini, Hilux baru (double cab) adalah 70 mm lebih panjang serta 20 mm lebih lebar. Dimensinya yang lebih besar turut menyumbang kepada ‘ground clearance’ yang cukup tinggi iaitu 286 mm yang penulis kira cukup untuk mengatasi halangan seperti banjir kilat yang kerap berlaku di Lembah Klang.
Ruang Kabin
Menjengah ke dalam ruang kabinnya, jelas kelihatan bahawa banyak kerja pengubahsuaian yang telah dilakukan oleh Toyota demi menjadikannya lebih seperti ruang kabin sebuah SUV. Dengan rekaan papan pemuka yang kemas serta kemasan premium yang terasa mahal pada sentuhan, tidak mustahil anda mungkin akan terlupa yang anda sebenarnya sedang memandu sebuah trak pikap! Ditambah pula dengan roda stereng kulit dan tempat duduk yang boleh dilaras, penulis mendapati Hilux selesa untuk kegunaan setiap hari.
Bagi varian 2.8G, selain dari kemasan kulit, ia turut dilengkapi dengan panel instrument Optitron dengan nyalaan biru yang asalnya dibangunkan untuk model mewah Lexus. Terletak di antara tachometer dan speedometer ialah sebuah Multi Information Display (MID) yang memaparkan penggunaan bahan api, data perjalanan, jarak pemanduan, status kenderaan dan sebagainya. Penyelarasan boleh dilakukan dengan butang kawalan yang terletak pada sebelah kanan roda stereng.
Selain dari ruang kabin yang luas, ruang menyimpan barang juga banyak. Tempat duduk belakang boleh dilipat secara 60:40 untuk ruang tambahan, manakala tempat meletak cawan diletak di serata kabin termasuk pada ‘armrest’ belakang. Lebih menarik lagi, Hilux juga menyediakan ‘dashboard’ dengan fungsi penyejukan supaya air atau apa sahaja yang dimasukkan kekal sejuk.
Sistem Infotainmen
Sistem infotainment Hilux 2.8G terdiri dari sebuah skrin sesentuh bersaiz 6.1 inci yang dipasang di tengah papan pemuka. Ia hadir dengan pelbagai fungsi termasuk pemain DVD, USB/AUX/Bluetooth dan juga paparan untuk kamera undur. Sistem pengenalan suara juga disertakan untuk pelanggan yang memasang sistem DVD-AVN.
Ia turut dilengkapi dengan enam pembesar suara, sesuatu yang jarang didengari apabila bercakap tentang trak pikap. Tetapi ini adalah ciri khas yang hanya disertakan dengan varian ini. Varian 2.4 mendapat empat pembesar suara manakala varian ‘single cab’ yang lebih tertumpu kepada kerja berat hanya mendapat dua.
Enijn dan Transmisi
Model ini dikuasakan oleh enjin diesel 1GD-FTV bersesaran 2.8 liter yang menggantikan enjin 3.0 sebelum ini. Walaupun lebih kecil, ia menghamburkan 9% lebih kuasa dan 31% lebih tork dari sebelum ini iaitu 177 PS pada 3,400 rpm dan 450 Nm dari seawal 1,600 hingga 2,400 rpm. Peningkatan kuasa jelas terasa walaupun pendikit ditekan lembut. Tidak banyak input yang perlu diberi untuk mencapai kelajuan yang dimahukan, dan ini memudahkan pemanduan terutamanya ketika memotong.
Kuasa disalurkan melalui kotak gear automatik enam kelajuan Super ECT yang menggunakan kawalan elektronik untuk penukaran gear yang lebih lancar dan cepat. Untuk mereka yang sukakan pemanduan yang lebih agresif, tahap tindak balas enjin dan pendikit boleh dipertingkatkan lagi dengan menekan butang mod Power di sebelah tombol gear. Mod ECO juga disediakan untuk mereka yang lebih ‘relax’.
Untuk ‘off-road’, pemandu boleh memilih mod 2H atau 4H di bawah 100 km/h tanpa memberhentikan kenderaan dengan menggunakan Electronic Transfer. Rear Differential Lock juga disertakan untuk mengelak dari terperangkap dalam situasi sukar.
Pemanduan
Hilux generasi ini menggunakan casis jenis ‘ladder frame’ yang lebih kukuh dari sebelumnya dengan 45% lebih titik kimpalan. Ini boleh dirasakan dengan jelas apabila ia dipandu di atas permukaan yang tidak rata, namun masih boleh dikatakan selesa untuk sebuah trak. Kestabilannya terutama apabila dipacu laju di lebuhraya juga harus dipuji.
Walaupun dipinjamkan hanya selama tiga hari, penulis dapat merasakan karakter ‘SUV’ yang wujud bersama Hilux. Kabinnya bukan sahaja kelihatan elegan seperti sebuah sedan, malah juga senyap dan aman sepanjang pemanduan. Deruman enjin dieselnya disembunyikan dengan baik walaupun ngauman jelas kedengaran jika pendikit ditekan, manakala bunyi angin dihalang dengan lapisan tambahan di sekitar tingkap.
Saiznya tidak menjadi penghalang untuk penulis membawa Hilux ke tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah. Stereng kuasa hidraulik memudahkan ia dipandu dan dikemudi di kawasan meletak kereta, manakala kamera undur menyenangkan kerja meletak kereta, walaupun dengan panjang melebihi lima meter. Untuk mereka yang selalu membeli-belah di IKEA, ini adalah satu kenderaan yang patut dipertimbangkan.
Dengan harga RM133,900 (harga atas jalan termasuk GST dan insurans), Hilux 2.8G menawarkan pakej yang lengkap, samada anda memiliki perniagaan ataupun tidak. Ia mempunyai ruang kabin yang boleh dikatakan mewah dan serba lengkap, serta pengendalian yang cekap. Ditambah pula dengan ruang kargo yang luas dan barisan bantuan elektronik, Hilux mempunyai tarikannya yang tersendiri.
No Comment