Perodua Bezza Dijual Bermula Dari RM37,300 Sehingga RM50,800
Seperti yang kami laporkan semalam, tempahan untuk Perodua Bezza dibuka mulai hari ini sebelum pelancaran rasmi pada 21 Julai 2016.
Harga jualan untuk sedan pertama syarikat itu bermula dari RM37,300 untuk varian 1.0L Standard G manual dan RM39,300 untuk versi automatik. Model 1.3L pula dijual bermula dari RM42,800 untuk Premium X manual, RM44,800 untuk Premium X auto, dan RM50,800 untuk model Advance, yang hanya ditawarkan dalam versi auto.
Pelanggan juga boleh memasang aksesori GearUp yang menawarkan kit badan iaitu bumper depan dan belakang, spoiler dan side skirt, selain dari balutan tempat duduk dan trim pintu eksklusif. Ia dibahagikan kepada pakej Dinamik (RM2,600) dan pakej Stylish (RM2,265).
Antara ciri utama Bezza adalah teknologi VVT-i untuk enjin 1.0L KR-VE dan Dual VVT-i untuk enjin 1.3L NR-VE, untuk penggunaan bahan api yang efisyen. Varian Advance mendapat Eco Idle System dengan fungsi Regenerative Braking untuk lebih penjimatan.
Ciri-ciri kemudahan yang disertakan termasuk sistem Smart Entry dengan butang penghidup enjin, kunci pintar, port USB di konsol belakang dan sistem multimedia yang boleh disambungkan ke telefon pintar melalui sistem Smart Link.
Dari segi keselamatan, kesemua varian dilengkapi ABS dengan EBD, namun Vehicle Stability Control (VSC) terhad untuk model Advance sahaja. Ini membolehkannya mendapat penilaian lima bintang dari ASEAN NCAP.
No Comment