Perodua Jangka Separuh Kedua 2016 Yang Lebih Baik
Perodua mengekalkan sasaran jualan sebanyak 216,000 unit untuk tahun 2016. Syarikat itu telah menjual sebanyak 97,400 unit kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan menyasarkan jualan sebanyak 118,600 unit dalam separuh kedua tahun ini.
Peningkatan itu dijangka walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dikurangkan kepada 580,000 dari 650,000 kenderaan pada awal tahun ini disebabkan oleh turun naik ekonomi global dan sentimen pengguna yang lembut dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Perodua Bezza yang dilancarkan baru-baru ini telah menerima tempahan purata sebanyak 1,000 unit sehari sejak tempahan dibuka pada 16 Julai. Syarikat itu menyasarkan untuk memenuhi permintaan dengan stok kenderaan yang sedia ada.
“Kami memulakan pengeluaran Perodua Bezza secara besar-besaran sejak Jun dan mempunyai 7,000 stok tersedia pada 21 Julai. Menjelang 31 Julai, kami mengharapkan untuk mempunyai 9,000 unit tersedia untuk penghantaran di seluruh negara,” Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata.
Sehingga pagi 26 Julai, tempahan Bezza telah mencecah sebanyak 10,115 unit dan 500 unit telah pun diserahkan sejak tarikh pelancarannya.
Pada Januari 2016, Perodua mengumumkan sasarannya untuk tahun ini, termasuk 905 mata untuk Indeks Kepuasan Jualan dan 870 mata untuk Indeks Kepuasan Pelanggan. Dalam pada itu, syarikat itu juga telah menjual 28,100 unit Myvi, 51,100 Axia dan 18,150 Alza dalam separuh pertama tahun ini.
Bahagian pasca jualan pula menyaksikan satu juta kenderaan mengunjungi 186 pusat servis Perodua di seluruh negara, iaitu peningkatan sebanyak 5% dari 965,000 jumlah kenderaan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ambilan pendapatan pula meningkat 13% dari RM293 juta kepada RM330 juta dalam separuh pertama 2016.
Jualan alat ganti termasuk aksesori untuk separuh pertama 2016 juga naik 5% kepada RM126 juta dari RM120 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. Namun, pengeluaran turun 14% kepada 100,300 unit dari 116,400 unit.
No Comment