Piala Audi R8 LMS Ke Thailand Buat Julung Kali
Piala Audi R8 LMS akan ke Thailand buat pertama kali dengan pusingan 3 dan 4 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang. Selepas pembukaan dramatik di Shanghai, kejohanan itu menyaksikan Rahel Frey dari Castrol Racing Team mendahului kedudukan peserta.
Persaingan dijangka menjadi lebih sengit di Buriram, tambahan pula pemandu-pemandu akan berentap di litar 4.5 km gred 1 FIA itu untuk pertama kali. “Kami amat gembira untuk memperluaskan jangkauan Piala Audi R8 LMS ke negara Asia lain yang baru,” ujar Bernd Goeres, Pengarah Audi Sport Customer Racing Asia.
Hanya empat mata kejohanan memisahkan Frey dan bakat muda Martin Rump yang mewakili Champion Racing Team. Seorang lagi pemandu muda iaitu Alessio Picariello dari MGT Team by Absolute, juara bertahan Alex Yoong dari Audi TEDA Racing Team dan Marchy Lee dari Audi Hong Kong melengkapkan senarai lima pelumba teratas musim ini.
Persaingan dalam kategori Amatur juga dijangka menjadi tumpuan pada hujung minggu ini. Johnson Huang (Absolute Racing) kini mendahului senarai peserta, diikuti oleh Jeffrey Lee dari Volkswagen Taiwan dengan beza empat mata. Lee juga perlu bertarung dengan bekas juara Alex Au dari Pheonix Racing yang kembali menyertai perlumbaan itu di Thailand. Muka lain yang turut kembali ke Piala itu ialah juara bertahan Amatur Daniel Bilski dari B-Quik Racing.
Atas pembatalan acara KL City Grand Prix yang berlangsung dalam bulan Ogos, pusingan 5 dan 6 Piala Audi R8 LMS akan dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang dari 13 hingga 14 Ogos.
No Comment