Motosikal / Skuter / Roda

Tunggang Uji: Vespa Sprint 150 3V i.e

Dalam banyak-banyak jenama motosikal, Vespa adalah antara yang paling mudah untuk dikenali kerana reka bentuk uniknya yang tidak banyak berubah sejak ia diperkenalkan di negara kelahirannya iaitu Itali hampir 50 tahun dahulu. Walaupun berada di dalam era yang sarat dengan skuter-skuter lain yang lebih terkini dan futuristik, Vespa tidak mempunyai masalah untuk terus menarik minat orang ramai dengan rupanya yang comel dan bersahaja.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_20160610

Vespa untuk pasaran Malaysia dibawa masuk oleh Naza Premira Sdn Bhd yang dilantik sebagai pengedar sah jenama itu oleh Piaggio Group pada Mei 2010. Antara model yang ditawarkan oleh syarikat itu ialah Vespa Sprint yang merupakan pengganti atau ‘spiritual successor’ Vespa S. Kehadirannya juga menandakan kebangkitan generasi Vespino yang cukup popular pada zaman 60- dan 70-an.

Vespa Sprint

Dilancarkan pada April 2015, rupa luaran Sprint tidak banyak berbeza dari model-model Vespa lain yang kita pernah lihat. Reka bentuk klasiknya dikekalkan seperti biasa, namun tidak seperti model Primavera dan GTS, model ini didatangkan dengan lampu hadapan petak yang tampak lebih moden. Bahagian tepi yang berkeluk serta garis badan beralun memberikannya penampilan yang lebih seksi dari mana-mana skuter yang ada.

Tidak cukup dengan itu, ia ditawarkan dengan beberapa pilihan warna ceria yang membuatkan pengguna jalanraya lain tidak berkelip mata memandangnya. Unit yang diuji ini didatangkan dalam warna merah yang digelar ‘Red Dragon’, satu warna yang cukup cantik untuk membuatkan penulis menoleh ke belakang setiap kali memarkirnya.

Vespa Sprint

Sesuai dengan peredaran masa, rupa ikonik Sprint diperkemaskan lagi dengan beberapa ciri moden seperti lampu nyalaan siang LED pada bahagian hadapan dan rim aluminium aloi bersaiz 12 inci. Selain itu, skuter ini turut didatangkan dengan panel istrumen moden yang menampilkan speedometer analog di bahagian atas dan sebuah skrin LCD kecil di bahagian bawah untuk bacaan yang lebih mudah.

Satu lagi ciri moden yang disertakan bersama Sprint adalah enjinnya. Bersesaran 154.8 cc, enjin bersilinder tunggal tersebut terasa cukup bertenaga hasil dari penggunaan sistem suntikan bahan api dan tiga injap iaitu dua pada bahagian pengambilan (intake) dan satu pada bahagian ekzos. Turut dipadankan adalah transmisi CVT automatik yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke tayar dengan lancar selagi pendikit dipulas.

Vespa Sprint

Gabungan mantap ini membuatkan Sprint selesa dan mudah untuk ditunggang terutamanya di kawasan bandar. Anda hanya perlu menghidupkan enjin menggunakan butang yang terletak pada bar hendal, kemudian pulas pendikit dan kuasa pecutan akan dapat dirasai dengan serta-merta. Dengan berat badan kurang 120 kg, ia juga sangat ringan dan mudah dikendalikan terutamanya jika anda perlu menyelit di tengah-tengah kesesakan lalu lintas.

Walaupun didatangkan dalam saiz yang comel, tahap kestabilan Sprint boleh dipuji terutamanya ketika berada pada kelajuan antara 90 hingga 110 kmj. Ini adalah hasil dari ubahsuai yang dilakukan terhadap rangkanya yang membolehkan bateri dipindahkan ke bawah ruang meletak kaki untuk pengagihan berat yang optimum.

Vespa Sprint

Dari sudut pengendalian, Vespa ini masih boleh melayan selekoh tetapi pada kelajuan sederhana sahaja. Jika dipaksa ‘bekerja keras’, ia akan mula terasa tidak stabil. Tetapi ini sudah pun dijangka dek kerana saiz tayarnya yang kecil.

Skuter ini jelas lebih sesuai untuk mereka yang lebih gemar menunggang secara bersahaja sambil bergaya. Dengan ciri ergonomik yang sesuai dengan saiz badan penulis, Sprint bukan sahaja mudah dinaiki malah selesa untuk ditunggang walaupun untuk tempoh masa yang agak lama. Tempat duduk dan talaan suspensinya yang agak lembut juga membantu dalam aspek keselesaan. Gegaran juga berada pada tahap minimum dengan adanya tapak enjin yang diubasuai.

Vespa Sprint

Sudah tentu, gaya sahaja tidak cukup untuk menarik minat pembeli. Sprint mempunyai aspek praktikaliti yang cukup baik, sesuai dengan statusnya sebagai sebuah skuter. Selain dari paparan yang mudah dibaca, ia juga mempunyai ruang menyimpan topi keledar sebesar 16.6 liter di bawah tempat duduk dan ruang untuk meletak barang-barang kecil di bahagian hadapan ruang meletak kaki. Sebuah cangkuk juga disediakan sebagai tempat menggantung topi keledar atau beg plastik.

Penulis mendapati bahawa Vespa Sprint lebih dari sebuah skuter yang menawarkan pakej lengkap untuk pengalaman menunggang yang mengujakan. Ia adalah sebuah ikon yang dimodenkan yang menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya, tidak di kira di mana ia dibawa. Namun begitu, harga RM15,617 meletakkannya sebagai salah satu skuter 150 cc yang paling mahal di pasaran Malaysia.

SONY DSC

Spesifikasi Vespa Sprint 150 3V i.e
Enjin: empat lejang, satu silinder
Kapasiti: 154.8cc
Kuasa: 12.7hp @ 7,750rpm
Tork: 12.8Nm @ 6,500rpm
Transmisi: CVT
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM15,617

 

 

 

 

 

 

 

Previous post

Gohed Gostan Ep 32 Hari Raya Keenam Dengan Isuzu MU-X

Next post

VW Umum Kelulusan Awal Program Penyelesaian 2.0L TDI di Amerika Syarikat

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *