Isuzu Malaysia Rai Ulangtahun Pertama MU-X Dengan Pesta Memancing
Isuzu Malaysia baru-baru ini meraikan ulangtahun MU-X yang pertama dengan cara yang begitu unik. Syarikat itu telah mengadakan ‘Isuzu MU-X Fishing Fest’ di sebuah kolam ikan di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Ia disertai oleh lebih dari 50 tetamu istimewa yang terdiri dari pemilik MU-X dan keluarga masing-masing.
Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Hajime Machimura berkata acara itu adalah cara mereka mengucapkan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan yang memilih Isuzu sebagai sebahagian dari gaya hidup mereka.
Di pesta memancing itu, peserta berpeluang untuk merasakan pengalaman menangkap sendiri ikan di kolam air masin seluas satu ekar itu, di mana lebih tiga tan pelbagai jenis ikan termasuk siakap, jenahak dan kerapu boleh didapati.
Hadiah yang ditawarkan terdiri dari dua hadiah utama yang berupa set perkhemahan bernilai RM3,000 yang ditaja oleh Coleman. Hadiah untuk ikan terberat dimenangi oleh Muhammad Nazirul Fikri bin Samsudin yang berjaya menaikkan kerapu harimau seberat 4.6 kg. Azley Tsia dan Mohammad Azran pula diumumkan sebagai pemenang bersama dalam kategori tangkapan paling banyak dengan masing-masing memperoleh tiga ekor ikan bulan.
Jenama ‘outdoor’ Coleman juga mengambil peluang untuk menayangkan konsep ‘glamping’ dengan menggunakan empat buah MU-X sebagai ‘model’.
No Comment