Lotus Elise 250 Special Edition – 50 Unit Sahaja
Telah banyak model edisi terhad yang dikeluarkan oleh Lotus sejak penubuhannya. Elise 250 Special Edition ini adalah yang terbaru dan ia adalah bersempena ulangtahun penubuhan fasiliti syarikat itu di Hethel yang ke-50.
Model Special Edition ini dibina berdasarkan Elise Cup 250 yang dilancarkan pada awal tahun ini, namun menampilkan beberapa komponen eksklusif standard. Ini termasuk bahagian-bahagian carbon fibre dan aluminium seperti splitter depan, spoiler belakang, panel akses depan dan juga tailgate.
Ia boleh didapati dalam empat pilihan warna iaitu merah, kuning, putih dan biru metalik, yang dipadankan dengan roda berwarna perak atau hitam.
Bahagian kabinnya pula menyerlahkan rekaan ringkas dengan tempat duduk carbon fibre dengan balutan kulit dalam warna biru dan perak atau hitam dan perak. Ia dipadankan dengan jahitan kontras, yang juga boleh didapati pada kemasan pintu.
Seperti Elise 250 Cup, model ini dikuasakan enjin supercharge 1.8 liter empat silinder yang menghamburkan 243 hp pada 7,200 rpm and 250 Nm dari 3,500 hingga 5,500 rpm. Dengan berat hanya 899 kg, kereta sports ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat.
Ia menampilkan sistem suspensi dan brek yang sama iaitu peredam Bilstein, spring Eibach, angkup dua piston AP Racing di hadapan dan juga angkup piston tunggal jenama Brembo di belakang. Menurut Lotus, Elise 250 Special Edition adalah Elise siri pengeluaran yang terpantas pernah dihasilkan, dengan catatan masa 1 minit 34 saat di litar Hethel.
No Comment