Berita Auto

Pandu Uji Ringkas BMW 330e Plug-in Hybrid

BMW Group Malaysia merasmikan kehadiran barisan plug-in hybrid iPerformancenya dengan pelancaran X5 xDrive40e pada bulan Jun tahun ini. Ditawarkan pada harga yang sangat menggiurkan iaitu RM388,800 (selepas insentif kenderaan hibrid dari kerajaan), respon pasaran boleh dikatakan sangat memberangsangkan. Untuk meneruskan momentum, syarikat tersebut akan memperkenalkan model iPerformance yang kedua iaitu 330e pada bulan ini.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Dengan harga bawah suku juta atau lebih tepat lagi RM248,800, 330e bakal menghangatkan lagi suasana pasaran premium di negara ini dengan ciri-ciri unik yang diketengahkan termasuklah teknologi eDrive yang dipinjam terus dari barisan model BMW i. Ya, anda boleh bayangkan model ini sebagai 3 Series yang mempunyai teknologi yang sama dengan i8 dan i3, dengan harga yang lebih mampu milik.

BMW 330e

Dari segi rupa luaran, perbezaan antara 330e dan model 3 Series yang lain adalah terlalu sedikit. Jika dilihat dengan lebih teliti, 330e mempunyai lencana model pada bonet, lencana ‘eDrive’ pada bahagian tiang C dan soket pengecas pada bahagian kiri hadapan. Pada bahagian dalam, terdapat butang eDrive berdekatan dengan tombol gear, paparan mod pemanduan di bawah meter RPM, dan plat ‘scuff’ dengan tulisan eDrive.

Spesifikasi unit pandu uji yang kami cuba di Munich baru-baru ini sedikit berlainan dengan model yang akan dilancarkan di Malaysia. Ia menampilkan pelbagai komponen M Sport termasuk roda stereng, kit badan, angkup brek berwarna biru serta rim 18 inci – agak garang untuk kereta hibrid, bukan?

BMW 330e

Walaupun tidak mempunyai casis Carbon Core seperti i8 dan 7 Series, 330e sebenarnya sudah cukup berpotensi untuk pemanduan yang mengujakan. Di bawah hudnya, 330e menyimpan enjin turbo 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 184 hp pada 5,000 rpm dan 290 Nm dari 1,350 rpm. Enjin ini turut digunakan dalam model 320i.

Dengan kuasa tambahan sebanyak 88 hp dan 250 dari motor elektrik yang digabungkan dengan kotak gear lapan kelajuan ZF itu, 330e secara keseluruhannya mempunyai 248 hp dan 420 Nm, tidak jauh berbeza dengan 330i yang mempunyai 252 hp dan 350 Nm. Walaupun mempunyai jumlah tork yang lebih tinggi, kereta hibrid itu sedikit perlahan berbanding ‘abangnya’ dengan masa pecutan 0-100 km/j selama 6.1 saat dan kelajuan maksimum 225 km/j.

BMW 330e

Motor elektrik tersebut mendapat cajnya dari sebuah bateri lithium ion berkapasiti 5.7 kWh yang diletakkan di bahagian bawah lantai ruang but. Dengan itu, ruang but terpaksa dikecilkan dari 480 hingga 370 liter. Caj penuh boleh dicapai dalam masa dua hingga empat jam melalui kabel pengecas standard yang dibekalkan, atau dalam 2 jam 12 minit dengan menggunakan BMW iWallbox.

Seperti X5 xDrive40e, 330e juga dilengkapi dengan teknologi eDrive yang menampilkan tiga mod pemanduan untuk pelbagai jenis prestasi yang diinginkan. Auto eDrive adalah mod default yang menawarkan gabungan enjin dan kuasa elektrik yang paling efisyen berdasarkan kelajuan kenderaan dan status bateri. Pemanduan elektrik secara penuh selaju 80 km/j boleh dilakukan dengan kuasa bateri sekurang-kurangnya 12%.

BMW 330e

Mod Max eDrive pula membolehkan anda memandu secara elektrik sehingga 120 km/j. Sudah tentu, kuasa bateri akan lebih cepat habis jika dipandu begini namun memandu dalam kelajuan cruising seperti 100 km/j tanpa sebarang bunyi enjin adalah satu pengalaman yang unik. Jika kehabisan kuasa bateri, enjin tersebut akan mengambil alih tugas menggerakkan kereta tersebut. Mod Save Battery akan bertindak mengecas bateri atau menyimpan kuasanya untuk digunakan kemudian.

Untuk pemanduan yang lebih efisyen, fungsi “predictive selection” boleh digunakan dengan memasukkan maklumat destinasi anda ke dalam sistem navigasi kereta tersebut. Sistem itu akan mengira penggunaan kuasa elektrik yang paling efisyen dengan menganalisa laluan perjalanan yang dimasukkan tadi.

BMW 330e

Dalam aspek penggunaan, 330e tidaklah membosankan seperti yang selalu diperkatakan tentang kereta hibrid. Walaupun agak senyap, ia mempunyai daya pecutan yang agak mengagumkan dan ini akan menjadi sangat berguna untuk trafik Lembah Kelang yang selalunya sesak. Pertukaran dari pemanduan elektrik ke pemanduan biasa adalah lancar. Anda boleh mendengar setiap kali enjinnya dihidupkan, namun bunyi tersebut tidaklah keterlaluan.

Walaupun boleh diperbaiki, prestasi stereng sudah cukup bagus untuk kebanyakan pemandu. Lebihan 190 kg yang dikandung nyata tidak menjejaskan pengendalian 330e, seperti yang dirasakan ketika memandu sepanjang jalan yang berliku di kawasan pergunungan di Austria. Harus diingat, walaupun mempunyai janaan kuasa hibrid, 330e masih sebuah sedan rear-wheel-drive yang sebenar.

BMW 330e

Selepas memandu sejauh lebih 300 km dari Munich ke Tasik Thiersee di Austria kemudian balik ke Garching, kami menghabiskan sesi uji pandu tempoh hari dengan minyak masih berbaki separuh. Penggunaan bahan api pula berada pada tahap 6 liter setiap 100 km. Walaupun agak jauh berbeza dengan 2.1 liter yang dicanangkan, ia adalah pencapaian yang agak mengagumkan, terutama selepas kereta itu dilenjan di autobahn.

Adil untuk mengatakan bahawa 330e berjaya melebihi jangkaan kami walaupun hanya dapat dipandu dalam tempoh yang singkat. Teknologi eDrive yang terbukti itu dan 3 Series adalah gabungan yang mantap yang masih mengutamakan keseronokan memandu. Dengan harga yang menarik, 330e adalah satu tawaran menarik yang tidak patut dilepaskan.

BMW 330e

Spesifikasi BMW 330e
Enjin: pengecas turbo, empat silinder
Kapasiti: 1,998 cc
Motor: elektrik motor “synchronous” (88 hp/250 Nm)
Jumlah kuasa: 248 hp, 420 Nm
Transmisi: 8-kelajuan automatik
0-100km/j: 6.1 saat
Kelajuan maksimum: 225 km/j
Harga: RM248,800

 

Previous post

Lamborghini Huracan GT3 Raih Kemenangan IMSA Pertama

Next post

Kempen Balik Kampung Shell Berjaya Kutip RM735,000

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *