Sasaran Kenderaan Berautonomi Ford
Ford hari ini mengumumkan hasrat untuk memiliki kenderaan berautonomi sepenuhnya bervolum tinggi dengan kemampuan SAE tahap 4 yang dioperasi secara komersial bagi tujuan perkhidmatan perkongsian pengangkutan pada tahun 2021.
Bagi mempercepatkan pembangunan kenderaan berautonominya, syarikat telah melabur atau berkolaborasi dengan empat buah syarikat startup. Di samping menggandakan pasukannya di Lembah Silikon dan mengembangkan kampus Palo Alto dengan signifikan.
“Dekad seterusnya akan didefinisikan oleh teknologi automasi automobil. Kami melihat kenderaan berautonomi akan mempunyai impak signifikan ke atas masyarakat sama seperti ketika Ford menukar saluran pengeluaran keretanya 100 tahun lalu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ford Motor Company, Mark Fields. “Kami komited untuk meletakkan kenderaan berautonomi di atas jalan raya yang mampu menambah baik aspek keselamatan. Selain menyelesaikan cabaran sosial dan alam sekitar untuk jutaan manusia – bukan sekadar bagi mereka yang mampu membeli kenderaan mewah.”
Kenderaan berautonomi pada tahun 2021 merupakan sebahagian daripada Mobiliti Pintar Ford. Ia adalah pelan syarikat untuk menjadi peneraju dalam bidang kenderaan berautonomi, ketersambungan, mobiliti, pengalaman pelanggan, data dan analisis.
Menjadi peneraju kenderaan berautonomi
Dibina berdasarkan kepada penyelidikan dan pembangunan kenderaan berautonomi selama lebih sedekad, kenderaan berautonomi pertama Ford ialah sebuah kereta yang memiliki kemampuan tahap 4 yang diiktiraf oleh Persatuan Jurutera Automotif. Ia tidak mempunyai stereng atau pedal brek dan direka khas untuk perkhidmatan mobiliti komersial seperti perkongsian pengangkutan serta akan ditawarkan dalam volum yang tinggi.
“Ford telah membangunkan dan menguji kenderaan berautonomi selama lebih 10 tahun.” kata Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Produk dan Ketua Pegawai Teknikal Ford, Raj Nair. “Kami memiliki kelebihan strategik kerana kami mampu menggabungkan teknologi pengesanan dan perisian dengan kejuruteraan sofistikated yang perlu untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi. Inilah yang diperlukan untuk menjadikan kenderaan berautonomi satu realiti buat jutaan manusia di seluruh dunia.”
Tahun ini, Ford akan menambah jumlah kenderaan berautonomi miliknya sebanyak tiga kali ganda dan menjadi kereta ujian paling banyak berbanding mana-mana pengeluar lain. Langkah itu menjadikan jumlah sedan Fusion Hybrid yang mampu dipandu sendiri kepada 30 unit. Ia bakal berada di atas jalan di California, Arizona dan Michigan. Ford juga merancang untuk menggandakan jumlah kenderaan itu sekali lagi pada tahun depan.
Ford merupakan pengeluar pertama yang memulakan ujian kenderaannya di Mcity, persekitaran simulasi urban di University of Michigan. Ford juga menjadi pengeluar pertama yang melakukan demonstrasi operasi kenderaan berautonomi dalam cuaca bersalji kepada umum dan menguji kenderaan pada waktu malam yang gelap, sebagai sebahagian daripada pembangunan alat pengesan LiDAR.
Dalam usaha menawarkan kenderaan berautonomi pada tahun 2021, Ford telah mengumumkan empat pelaburan dan kerjasama pentingnya. Kerjasama itu berperanan mengembangkan lagi keupayaan penyelidikan dalam bidang algoritma lanjutan, pemetaan 3D, LiDAR, radar dan alat pengesan kamera:
- Velodyne: Ford melabur ke dalam Velodyne, sebuah syarikat peneraju dalam teknologi alat pengesan LiDAR (Light Detection And Ranging) yang berpangkalan di Lembah Silikon. Pelaburan itu bertujuan mempercepatkan proses penghasilan alat pengesan LiDAR gred automotif yang lebih mampu milik. Ford mempunyai hubungan yang panjang dengan Velodyne. Ia menjadi antara yang pertama menggunakan teknologi LiDAR untuk tujuan pemetaan beresolusi tinggi dan pemanduan berautonomi sejak lebih 10 tahun lalu
- SAIPS: Ford telah membeli syarikat visi komputer dan pembelajaran mesin yang berpangkalan di Israel, SAIPS untuk mengukuhkan kepakarannya dalam bidang kepintaran buatan serta visi komputernya. SAIPS telah membangunkan penyelesaian algoritma dalam bidang pemprosesan imej dan video, visi komputer, pembelajaran yang lebih mendalam, pemprosesan isyarat serta klasifikasi. Kepakaran ini akan membantu kenderaan berautonomi untuk belajar dan mengadaptasi persekitaran mereka.
- Nirenberg Networks: Ford mempunyai perjanjian perlesenan eksklusif dengan Nirenberg Neuroscience, sebuah syarikat mesin visi yang diasaskan oleh neurosaintis Dr. Sheila Nirenberg. Beliau telah berjaya mencipta kod neural mata untuk menghantar maklumat visual ke otak. Kekayaan ini telah membawa kepada satu platform mesin visi yang berkeupayaan tinggi untuk melakukan navigasi, pengecaman objek, wajah, fungsi-fungsi lain dan pelbagai potensi aplikasi. Salah satu contoh yang telah diaplikasikan oleh Dr. Nirenberg adalah dengan membangunkan satu peranti yang mampu menyimpan pandangan pesakit yang menghidap penyakit penyusutan kualiti retina mata. Kerjasama Ford dan Nirenberg Neuroscience akan membantu membawa kepintaran mengesan seperti manusia kepada modul pembelajaran mesin pada sistem pemandu maya kenderaan berautonominya
- Civil Maps: Ford juga telah melabur ke dalam syarikat Civil Maps yang berpangkalan di Berkley, California untuk meningkatkan lagi kemampuan pemetaan 3D beresolusi tinggi. Civil Maps telah merintis teknik pemetaan 3D inovatif yang boleh diskala dan lebih efisien berbanding proses sedia ada. Ini memberikan Ford satu cara baru untuk membangunkan peta 3D beresolusi tinggi yang bertindak sebagai asas pengetahuan yang dimiliki oleh kenderaan berautonomi terhadap persekitarannya.
Pengembangan Lembah Silikon
Ford turut mengembangkan operasi Lembah Silikon dengan menghasilkan satu kampus khas di Palo Alto. Peluasan kampus itu meningkatkan lagi kewujudan syarikat dan menyokong pelan untuk menggandakan saiz pasukan Palo Alto menjelang akhir tahun 2017.
“Kewujudan kami di Lembah Silikon amat penting untuk mempercepatkan pembelajaran dan memacu pelan Mobiliti Pintar Ford,” kata Naib Presiden Penyelidikan dan Kejuruteraan Lanjuran Ford, Ken Washington. “Matlamat kami adalah untuk menjadi ahli kepada masyarakat. Hari ini, kami bekerjasama aktif dengan lebih daripada 40 buah syarikat startup. Kami juga telah membentuk kolaborasi yang mantap dengan banyak inkubator. Sekali gus membolehkan kami mempercepatkan pembangunan teknologi dan perkhidmatan.”
Sejak Pusat Penyelidikan dan Inovasi Ford Palo Alto dibuka pada Januari 2015, kemudahan itu pantas berkembang untuk menjadi pusat penyelidikan pengeluar automotif yang paling besar di rantau tersebut. Hari ini, ia menempatkan lebih daripada 130 orang penyelidik, jurutera dan saintis yang fokus dalam meningkatkan kolaborasi Ford dengan ekosistem Lembah Silikon.
Pusat Penyelidikan dan Inovasi Ford Palo Alto melibatkan pelbagai disiplin penyelidikan dan inovasi. Ia merupakan pusat terbaharu bagi tujuan penyelidikan, inovasi, IT dan kejuruteraan Ford di peringkat global. Kampus tambahan Palo Alto dijangka dibuka pada pertengahan tahun 2017.
No Comment