SDAC Lancar Ford Transit Berharga RM148,888
Ford dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini melancarkan van tingkap Transit baharu di Malaysia. Ia direka khas untuk pengendali perniagaan, organisasi dan jabatan kerajaan yang perlu mengangkut ramai orang serta mahukan sebuah van komersial yang lebih berkeupayaan, selesa, efisien dan memiliki rangkaian ciri keselamatan komprehensif.
Dengan reka bentuk kontemporari dan profesional yang sesuai untuk kegunaan perniagaan, van tingkap Transit didapati dalam warna putih (Frozen White). Ia ditawarkan pada harga RM148,888 di atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia dan RM151,888 seunit di Malaysia Timur.
Dengan rekaan baharu yang lebih berani, ruang kabin seperti kereta dan dinamik pemanduan mengagumkan, van tingkap Ford Transit pastinya sangat sesuai untuk kegunaan pelbagai organisasi serta perniagaan kecil.
Jentera ini dikuasakan oleh enjin turbo diesel Duratorq bersesaran 2.2 liter. Enjin itu menawarkan kuasa mencecah 155PS dan tork 385Nm. Sama seperti Transit yang lain, enjin TDCi itu dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Rangkaian ciri keselamatan yang ada pada Ford Transit baharu termasuklah penambahan pemijak sisi kuasa yang akan memanjang dan dimasukkan semula apabila pintu gelungsur dibuka dan ditutup. Manakala pintu belakang dengan bukaan 180 darjah bersama dua langkah bukaan 90 dan 180 darjah nyata memudahkan akses dan mengangkut barang.
Ciri keselamatan canggih yang lain termasuklah Electronic Stability Programme dengan Fail Boost Support, mitigasi terbalik, alat pengesan parkir pada bahagian hadapan dan belakang, tali pinggang keledar tiga poin untuk semua penumpang serta cagak tempat duduk kanak- kanak ISOFIX di tempat duduk baris kedua.
Keselesaan dan teknologi termaju
Pasukan jurutera Ford telah menala kenderaan ini supaya dapat menawarkan dinamik pemanduan dan pengendalian yang lebih meyakinkan seperti sebuah kereta kecil, ketika berada di kawasan bandar serta lebuh raya.
Van Transit 14 tempat duduk mempunyai kabin yang penuh fungsi dan luas. Ia menyediakan tahap pandangan yang baik dan posisi pemanduan lebih selesa berbanding model terdahulu. Kolum sterengnya kini boleh diubah suai sepenuhnya.
Secara signifikan, bahagian dalaman Transit kini juga lebih bagus buatannya. Tahap bunyi bising dikurangkan dan keselesaan penumpang telah ditambah baik. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan panel instrumen yang bergaya dan rangkaian ruang penyimpanan pintar.
Ini termasuklah satu ruang kompartmen yang disembunyikan di bawah tempat duduk berkembar di hadapan, selain poket pada pintu yang boleh memuatkan satu papan klip A4 dan botol minuman dua liter.
Teknologi termaju yang ada pada Transit akan memberikan penumpang dan pemandu ketenangan minda. Ini termasuklah ciri mitigasi terbalik yang berfungsi mengenakan brek ke atas tayar-tayar tertentu secara automatik apabila alat pengesan mengesan risiko kenderaan mungkin terbalik. Ciri kawalan cengkaman pula menyediakan cengkaman sepenuhnya pada apa jua kondisi jalan dengan cara menghantar kuasa tork ke roda yang mempunyai paling banyak cengkaman.
Ford Transit juga didatangkan dengan pelbagai ciri penting seperti:
- Beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan
- Hill Launch Assist
- Emergency Brake Assist dan Emergency Brake Warning
- Sistem Brek anti Kunci (ABS)
- Lampu utama jenis Halogen bersama Quad Beam dan ciri Follow Me Home Lighting
- Cermin sisi dua tingkat
- Emergency Release Hammer pada sebelah pintu mengangkut barang
- Sambungan Radio dengan mikrofon
- Tangki minyak berkapasiti 80 liter
- Alat pengesan parkir pada bahagian hadapan dan belakang
No Comment