Sudah Tiba Masanya Untuk Naik Taraf: Pengalaman Kelas Perniagaan Kini Standard Dalam Ford Everest Baharu
Ford Everest serba baharu menawarkan keupayaan mengharung laluan off-road yang tiada tandingan bersama ruang dalaman yang mendefinisikan semula aspek keselesaan di dalam sebuah SUV 4×4.
Ruang dalaman Everest yang premium padat dengan ciri moden, pintar dan rekaan sofistikated. Ia disempurnakan lagi menerusi penggunaan material termaju dan halus yang membolehkan pemandu serta penumpang memandu di laluan off-road dan di jalan biasa dengan selesa.
Untuk memastikan ruang dalaman yang senyap, pasukan jurutera Ford telah menggunakan material penyerap bunyi secara ekstensif. Ini termasuklah kaca akustik yang direka khas pada cermin utama untuk menghalang kemasukan bunyi bising dari jalan, enjin dan trafik.
Bukan itu sahaja, pasukan aerodinamik Ford telah menjalankan beribu-ribu simulasi untuk menghasilkan bentuk yang dapat bergerak dengan lancar. Selain membangunkan ‘layar’ aerodinamik pada cermin sisi yang mampu mengurangkan bunyi bising angin secara signifikan sehingga 10dB apabila dipandu dengan cermin tingkap diturunkan. Mereka juga memperkenalkan cagak enjin hidraulik yang membantu mengurangkan getaran enjin untuk pemanduan lebih lancar.
Kemajuan bidang kejuruteraan ini digabungkan dengan ciri Active Noise Cancellation Ford untuk menawarkan pemanduan yang sesenyap mungkin. Sama seperti fon kepala yang mampu menghilangkan bunyi bising, sistem itu menggunakan tiga unit mikrofon untuk merekod bunyi enjin berfrekuensi rendah. Ia kemudian menjana gelombang bunyi yang dimainkan menerusi stereo untuk menghilangkan bunyi bising tersebut. Ini membolehkan penumpang hadapan berbual bersama penumpang di tempat duduk baris ketiga belakang dengan selesa. Modul itu akan terus menghasilkan gelombang bunyi yang bertentangan dan disalurkan melalui sistem audio Everest. Ia kemudian digabungkan dengan gelombang bunyi enjin yang asal untuk menghilangkan mana-mana bunyi bising yang tidak diperlukan dalam julat 30Hz hingga 180Hz.
Tidak ada perincian yang terlalu kecil untuk diperhatikan. Untuk corong pendingin hawa misalnya, pasukan reka bentuk Ford memilih krom satin yang elegan. Sekali gus membolehkannya lebih menyerlah tanpa rasa krom yang biasanya lebih nipis. Bagi elemen dalaman yang sentiasa disentuh oleh pengguna seperti hendal atau kemasan pintu, Everest menggunakan material yang lembut dan telah diperhalusi.
Keselesaan dan kehalusan buatan adalah penting buat semua penumpang. Jadi, tempat duduk Everest yang fleksibel dan luas itu memastikan semua orang berada dalam keadaan selesa. Pemandu duduk dengan penuh gaya di kerusi yang menawarkan talaan 8 cara. Manakala penumpang hadapan duduk di kerusi yang boleh dilaras dua cara secara manual. Tempat duduk baris kedua boleh ditolak dan dibaringkan. Ia juga dilengkapi kawalan suhu dan kipas, satu outlet kuasa untuk mengecas komputer riba serta satu soket tambahan 12V bagi kegunaan peranti mudah alih.
Tempat duduk baris kedua hadir dengan perehat tangan dan konfigurasi 60/40. Manakala tempat duduk baris ketiga dengan ciri PowerFold elektrik boleh dilipat rata dengan hanya perlu menekan satu butang. Tempat duduk kedua dan ketiga direka untuk memaksimumkan ruang kargo. Ia boleh dilipat rata sepenuhnya untuk menawarkan ruang kargo yang luas sehingga 2,010 liter.
Ruang dalaman Everest baharu yang kemas direka dengan penuh kefungsian. Terdapat lebih 30 tempat penyimpanan berkapasiti 48 liter yang memastikan ada ruang untuk apa sahaja. Ini termasuklah kotak penyimpanan hadapan yang boleh memuatkan sebuah komputer riba bersaiz 16 inci. Selain ruang but yang boleh diisi dengan beg golf tanpa sebarang masalah.
Kekal terhubung di dalam Everest baharu nyata sangat mudah. Dengan kluster skrin berkembar beresolusi tinggi, pemandu boleh melihat semua maklumat yang diperlukan dengan mudah. Kluster itu juga boleh diubah suai untuk memaparkan apa jua maklumat yang paling relevan kepada pemandu. Daripada maklumat hiburan terkini sehinggalah penjimatan bahan api dan jarak yang boleh dicapai dengan minyak sedia ada. Malah, maklumat 4×4, agihan kuasa tork banyak lagi turut disediakan.
Bagi membantu pemandu kekal berhubung dengan teknologi di dalam kereta dan kehidupan digital mereka, Everest baharu dilengkapi sistem ketersambungan yang diaktifkan melalui suara, SYNC 2. SYNC 2 menawarkan kawalan yang mudah ke atas sistem hiburan, suhu dan navigasi. Ia juga membolehkan pemandu membuat panggilan serta membaca mesej dengan kuat menerusi arahan suara yang ringkas dan semula jadi.
Everest serba baharu juga menjadi kenderaan pertama dalam segmennya yang dilengkapi sistem MyKey Ford yang eksklusif. Sistem itu membolehkan pelbagai ciri seperti had kelajuan maksimum, amaran pemakaian tali pinggang keledar dan volum maksimum sistem audio diprogramkan.
Ditawarkan pada harga bermula RM198,888 di atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia dan RM201,888 di Malaysia Timur, Everest serba baharu didatangkan dalam empat warna yang elegan: merah (Sunset Metallic), putih (Cool White), hitam (Black Mica Metallic) dan perak (Aluminium Metallic).
Maklumat lanjut, sila layari laman web: http://www.ford.com.my/suvs/all-new-everest.
No Comment