Chevrolet Cruze Sport – Infotainmen dan Ciri-ciri Keselamatan
Selain dari gabungan mantap antara casis yang dibangunkan dengan ilmu World Touring Car Championship (WTCC) dan enjin ECOTEC 1.8 liter yang bertenaga, banyak lagi sebenarnya yang ditawarkan oleh Chevrolet Cruze Sport. Mari kita lihat.
Dari aspek infotainmen, sedan itu menampilkan enam pembesar suara serta sistem AVN yang menyediakan paparan kamera undur, navigasi GPS, radio AM/FM, pengstriman audio Bluetooth, integrasi telefon pintar serta pemain DVD – semuanya boleh diakses melalui skrin sesentuh bersaiz tujuh inci yang terletak di tengah-tengah konsol.
Port-port USB, iPod dan AUX pula berada di dalam ruang storan pada tempat letak tangan di bahagian tengah untuk penggunaan yang lebih mudah. Tahap nyalaan panel instrumen di mana speedometer dan odometer berada boleh dikawal melalui butang yang terletak berdekatan dengan suis lampu hadapan.
Ciri-ciri lain yang disertakan termasuklah butang Passive Entry Push Start, Cruise Control, stereng tilt dan teleskopik, pengelap cermin boleh laras sensitif kelembapan, kawalan iklim automatik, lampu dalaman dan sebagainya.
Untuk prestasi dan keselamatan, Cruze didatangkan dengan Electronic Stability Program (ESP), Traction Control (TC), Anti-lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake-force Distribution (EBD). ESP mengesan kehilangan kawalan pada stereng dan menggunakan brek pada mana-mana tayar yang memerlukan, manakala TC bertanggungjawab meminimumkan kegelinciran semasa pecutan.
Sedan itu juga mempunyai dua beg udara (pemandu dan penumpang hadapan), sistem immobilizer, sensor undur dan tingkap kuasa ‘anti-pinch’ pada sebelah pemandu.
No Comment