Estate + SUV = Mercedes-Benz E-Class All-Terrain
Mercedes-Benz telah memperkenalkan satu lagi variasi E-Class iaitu E-Class All-Terrain, yang bakal bersaing rapat dengan Audi Allroad dan Volvo V90 Cross Country yang baru ditayangkan beberapa hari lalu. Ia akan membuat kemunculan pertamanya di Paris Motor Show 2016 yang bakal berlangsung tidak lama lagi dan akan dijual bermula tahun hadapan.
Menggabungkan keluasan dan praktikaliti sebuah wagon/estate dengan ciri-ciri SUV yang tahan lasak, E-Class All-Terrain menampilkan bampar hadapan dan belakang yang direka semula, underguard dalam kemasan krom perak dan pelindung gerbang roda berwarna hitam. Rim yang didatangkan dalam pilihan 19 dan 20 inci bukan sahaja bergaya, malah membantu meningkatkan jarak pelepasan dari tanah dan keselasaan ketika di jalan berlubang.
Antara ciri-ciri khas yang hadir di dalam kabin E-Class All-Terrain adalah kemasan aluminium-karbon, pedal keluli tahan karat dengan kancing getah, dan karpet lantai dengan tulisan ‘All-Terrain’. Kedudukan kerusi belakang dan kebolehannya untuk dilipat dalam format 40:20:40 membantu meluaskan ruang kabin. Menurut Mercedes-Benz, ciri-ciri keselamatan, keselesaan dan kemudahan adalah sama dengan model E-Class biasa.
Model ini akan dilancarkan dalam varian E220d 4MATIC yang menampilkan enjin diesel empat silinder baharu dengan 194 hp, dan akan diikuti oleh satu lagi varian dengan enjin diesel enam silinder. Kedua-dua model tersebut dilengkapi dengan transmisi automatik sembilan kelajuan (9G-Tronic) dan sistem pacuan empat roda.
Berikut adalah ringkasan data teknikal E220d 4MATIC:
E-Class All-Terrain turut menampilkan Dynamic Select yang menawarkan lima mod pemanduan termasuk mod yang terbaru iaitu ‘All-Terrain’ yang diprogramkan khas untuk pemanduan off-road. Dengan bantuan Air Body Control, casis akan dinaikkan sebanyak 20 mm pada kelajuan sehingga 35 km/h. Selain itu, mod tersebut juga menyelaraskan tahap respon Electronic Stability Program, Active Yaw Control dan Acceleration Skid Control.
Mod All-Terrain mempunyai paparannya yang tersendiri, di mana maklumat-maklumat penting seperti sudut belokan, sudut cerun, kedudukan suspensi udara, kedudukan pedal brek dan pendikit serta kompas disediakan.
Penggunaan suspensi udara membolehkan E-Class All-Terrain ditinggikan atau direndahkan sebanyak 35 mm dalam tiga peringkat menggunakan butang pada konsol tengah. Jika dibandingkan dengan E-Class Estate, model All-Terrain adalah 29 mm lebih tinggi, manakala jarak pelepasan dari tanah turut meningkat dari 121 mm ke 156 mm.
No Comment