Honda Malaysia Sahkan Inflator Beg Udara Takata Pecah Dalam Kemalangan Maut Terbaru
Dalam satu siasatan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Honda Malaysia telah mengesahkan bahawa inflator beg udara Takata ‘single stage’ (SDI) telah pecah dalam satu kemalangan maut yang melibatkan City 2009 pada 24 September 2016. Punca kematian masih belum dapat disahkan.
Menurut Honda, kereta yang terbabit dalam kemalangan di Johor Bahru itu terlibat dalam panggilan balik untuk menggantikan beg udara SDI pemandu yang diumumkan pada 10 Julai 2015. Surat permberitahuan juga telah dihantar kepada pemilik namun rekod mereka menunjukkan kerja pembaikan tidak pernah dijalankan.
Kereta itu juga termasuk dalam panggilan balik melibatkan inflator beg udara penumpang (SPI) yang diumumkan pada 23 Jun 2016. Honda mengesahkan beg udara penumpang tersebut tidak pecah semasa mengembung dan berfungsi baik dalam kemalangan itu.
Syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan wakil dari keluarga mangsa. Sebarang maklumat peribadi tidak akan didedahkan bagi menghormati pihak yang terlibat.
Honda Malaysia juga masih meneruskan usaha untuk memberitahu pelanggan yang terlibat dan menggesa mereka untuk segera menghantar kenderaan ke pusat servis. Antara usaha-usaha yang dijalankan termasuklah menghantar email, kempen, notis di laman web syarikat, carian nombor casis kenderaan (VIN), SMS, dan panggilan telefon.
Honda juga telah mewujudkan hab-hab servis di Pulau Pinang, Johor dan Selangor, di mana 10,800 inflator beg udara telah pun diganti. Ia juga memastikan stok alat ganti berada pada tahap 100% dan sehingga September 2016, lebih 157,000 inflator beg udara hadaan telah ditukar.
No Comment