Mercedes-AMG GT Roadster dan GT C Roadster
Inginkan GT tetapi lebih gemar memandu dalam keadaan bumbung dibuka? Jangan risau kerana Mercedes-Benz baru sahaja memperkenalkan dua varian roadster terbaru iaitu Mercedes-AMG GT Roadster dan GT C Roadster.
Sama seperti GT dan GT R, kedua-dua model roadster ini dikuasakan enjin 4.0 liter twin-turbo V8 yang dipadankan dengan kotak gear dwi klac AMG Speedshift tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan tayar belakang. GT Roadster mempunyai 476 hp dan 630 Nm manakala GT C Roadster dibekalkan dengan 577 hp dan 680 Nm.
Dari segi prestasi, GT Roadster mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.0 saat dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j. Sebagai varian yang lebih berkuasa, GT C Roadster memerlukan hanya 3.7 saat untuk mencapai 100 km/j dari pegun dan boleh memecut sehingga 316 km/j.
GT C Roadster juga mempunyai kelebihan dari segi kelengkapan, di mana ia memperoleh beberapa komponen daripada varian GT R yang kita sedia maklum lebih ganas. Antaranya adalah Active Rear Axle Steering dan bahagian belakang yang lebih lebar. Kotak gearnya turut ditala khas dengan nisbah tinggi untuk gear pertama dan nisbah lenih rendah untuk gear ketujuh dan pemacu akhir.
Kereta sports itu juga didatangkan dengan sistem pengurusan angin aktif dari GT R iaitu lubang di bahagian hadapan yang boleh dibuka dan ditutup dalam masa satu saat dengan menggunakan kuasa motor elektrik. Ini memastikan enjin dapat disejukkan dengan cepat bila diperlukan.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem ekzos AMG dengan penutup boleh laras, sistem suspensi AMG Ride Control dengan penyerap hentak adaptif, dan Electronically Controlled Locking Differential pada gandar belakang. Di dalam, GT C Roadster menampilkan roda stereng flat bottom, upholsteri kulit Nappa dan microfiber Dinamica, serta mod panduan tambahan iaitu Race.
Bumbung kedua-dua GT Roadster dan GT C Roadster boleh dibuka dan ditutup dalam masa lebih kurang 11 saat dan ini boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j. Bumbung fabrik tersebut disokong oleh struktur ringan yang diperbuat dari magnesium, besi dan aluminium. Perlindungan tambahan juga diberi melalui cross member aluminium dan rollover bar.
No Comment