Norizan: Tahun Mencabar Buat Pasukan
Norizman Ismail akui beberapa litar baharu yang diperkenalkan pada musim 2016 dilihat tidak banyak memberi kelebihan buat jentera Honda khususnya bagi kategori CP130 di dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.
Menjelang perlumbaan pusingan kelapan di Temerloh, Pahang, 24 dan 25 September ini, pelumba senior dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu merupakan satu-satunya pelumba yang menggunakan jentera Honda berada di kelompok lima pelumba terbaik di sebalik dominasi sepenuhnya oleh pelumba Yamaha.
Norizman ketika ini menghuni tangga ketiga dengan 68 mata manakala gabungan dua peluma PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin dan Ahmad Fazli Sham telah memenangi kesemua perlumbaan dengan Kasma mendahului senarai keseluruhan setelah mengumpul 150 mata dan Fazli 111 mata.
Kedudukan keempat dan kelima milik Ahmad Afif Amran dan Ahmad Fazrul Sham, masing-masing dengan 63 mata.
“Kempen kami pada tahun ini agak mencabar, terutama di litar baharu seperti Pasir Mas, Kelantan dan Kemaman di Terengganu. Litar yang agak pendek dan sangat teknikal menyebabkan kami sukar untuk mendapatkan pelarasan enjin dan suspensi yang terbaik. Namun saya bernasib baik kerana masih mampu menempatkan diri di tangga ketiga meskipun kehilangan banyak mata kerana gagal menamatkan perlumbaan di Kelantan dan Terengganu,” jelas Norizman.
Berbaki tiga pusingan lagi, Norizman akui peluang untuk mengejar kedudukan teratas sudahpun tertutup.
“Pada peringkat awal, strategi kami adalah untuk membantu dan meletakkan pelumba junior, Hafiz Nor Azman sebagai pelumba utama pasukan terutama sekali selepas melihat dia bersaing sengit bersama Kasma pada pusingan pembukaan. Namun nampaknya strategi kami tidak berjalan lancar dan saya juga perlu bekerja keras untuk membantu pasukan berada di kedudukan yang baik. Kami perlu mengkaji strategi terbaik untuk baki tiga perlumbaan ini.
“Dengan saingan sengit pelumba Yamaha termasuk Afif dan Fazrul, kami perlu merangka strategi untuk menaiki podium dan paling penting, membawa pulang mata sebanyak mungkin,” jelas Norizman yang tidak pernah gagal menempatkan diri dalam kelompok lima pelumba terbaik keseluruhan sepanjang lima musim lepas termasuk ketika bergelar juara CP130 pada tahun 2011,” jelas Norizman.
No Comment