Pandu Uji: Peugeot 408 e-THP
Persaingan dalam segmen C sememangya sudah menjadi sengit sejak beberapa tahun lalu dengan lambakan model-model sama ada dari Malaysia, Jepun, Eropah atau pun Amerika Syarikat. Ini ada baiknya juga kerana dengan pilihan yang banyak, pelanggan bebas membuat pilihan dan syarikat-syarikat pembuat kereta akan terus berusaha untuk menghasilkan produk yang terbaik demi memikat hati pembeli.
Bercakap tentang produk yang baik, Peugeot yang diwakili oleh Nasim Sdn Bhd di negara ini adalah salah satu jenama yang dilihat sedang meningkat maju dari segi kualiti, rekaan dan teknologi yang ditawarkan. Malah, tidak keterlaluan jika kami katakan yang setiap produk baharu yang muncul dari syarikat pembuat kereta Perancis itu adalah lebih baik dari yang sebelumnya.
Contoh paling jelas yang kami boleh berikan adalah 408 e-THP baharu, yang merupakan kesinambungan kepada hatchback 308 THP yang dilancarkan pada Februari 2015. Bukan sekadar 308 versi sedan, 408 e-THP yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini membawa lebih nilai dan prestasi berbanding rakan hatchbacknya.
Pertama sekali, walaupun kedua-duanya dikuasakan enjin 1.6 liter turbo high-pressure (THP), 408 mempunyai jumlah kuasa sebanyak 165 hp pada 6,500 rpm dan 245 Nm dari 1,400 rpm, iaitu lebih tinggi dari 308 yang menghasilkan 150 hp dan 240 Nm. Dipadankan dengan transmisi Quickshift enam-kelajuan, sedan itu mampu bergerak dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.2 saat dan memecut sehingga 215 km/j.
Jika anda perasan, 408 didatangkan dengan nama “e-THP”, di mana “e” tersebut membawa maksud “efficiency” yang merujuk kepada fungsi start-stop sedan itu. Ini adalah kali pertama Peugeot menampilkan ciri itu di dalam kenderaannya. Dengan ciri tersebut, 408 yang nyata lebih berat mempunyai tahap penggunaan bahan api yang sama dengan 308 iaitu 6.5 liter setiap 100 km.
Bukan itu sahaja, pada ukuran 4,750 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,488 mm tinggi, dengan jarak roda sebesar 2,730 mm, 408 e-THP nyata lebih besar dan luas di dalam. Untuk perbandingan, jarak roda 308 THP hanyalah sebesar 2,620 mm. Saiz but juga membesar dari 470 ke 565 liter, walaupun kedua-dua model ini menggunakan platform EMP2 yang sama. Ini meletakkan 408 sebagai pilihan yang lebih sesuai untuk mereka yang bekeluarga.
Kelebihan sedan ini juga terletak pada reka bentuk eksklusifnya yang tidak ubah seperti sedan segmen D. Rekaan yang dipinjam dari 308 diterjemah ke dalam bentuk sedan dengan begitu baik, terutama jika dilihat dari bahagian belakang di mana 408 menampilkan rekaan lampu LED yang segar serta ekzos krom berkembar untuk imej yang sedikit sporty.
Bahagian depannya juga nampak kemas dengan lampu LED berbentuk C dan gril krom baharu yang menampilkan logo singa jenama itu ditengah-tengah. Pada 308, logo tersebut terletak pada bahagian hudnya. 408 juga didatangkan dengan rim ‘Rubis’ bersaiz 17-inci dengan kemasan dwi-tone, yang pertama kali diperkenalkan pada varian 308 Active.
Seperti yang dijangka, bahagian dalaman 408 terasa lapang dan selesa untuk diduduki. Ruang kabin itu juga tidak menyerabutkan dan pujian harus diberi kepada rekaan papan pemuka i-Cockpit yang sangat rapi dan tersusun. Selain tombol volume dan beberapa butang, sedan itu menampilkan skrin sesentuh 9.7 inci yang menyediakan akses kepada status kenderaan, penghawa dingin, sistem bantuan pemandu dan juga sistem infotainmen melalui butang kawalan pada roda stereng.
Dengan papan instrument yang ditolak ke belakang dan roda stereng kompak boleh diubahsuai, sedan ini mempunyai posisi memandu yang bukan sahaja selesa, malah sesuai untuk pemanduan yang bersemangat pada masa yang sama. Ya, walaupun disasarkan pada golongan bekeluarga yang mahukan sedan yang santai, 408 e-THP menyimpan perwatakan yang agresif.
Enjin empat silinder itu menghasilkan sedikit turbo lag tetapi sebaik sahaja jarum mencecah 1,500 rpm, kuasa akan muncul secara progresif sekaligus memberikan prestasi pecutan yang meyakinkan. Kotak gear Aisin yang digunakan juga berfungsi dengan lancar sama ada ketika menaikkan atau menurunkan gear.
Menggunakan platform EMP2 yang merendahkan ketinggian sebanyak 20 mm, 408 e-THP membuktikan kemampuannya dengan tahap kestabilan yang tinggi walaupun terpaksa berhadapan dengan permukaan jalan beralun yang sinonim dengan lebuh raya negara ini. Prestasi sedan itu di jalan yang berselekoh juga tidak kurang hebatnya, dengan maklum balas stereng yang tepat dan sistem suspensi yang cukup kukuh untuk dilenjan.
Apa-apa pun, 408 masih mementingkan keselesaan dan kesenangan dan ini dapat dilihat melalui ciri-ciri yang disertakan termasuk upholsteri kulit, fungsi kawalan elektrik untuk tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan pada tempat duduk pemandu, sistem penghawa dingin dwi zon dengan lubang udara belakang, kamera undur, keyless entry, butang penghidup enjin, dan juga enam pembesar suara Arkamys 3D.
Pada harga RM143,888, tidak dapat dinafikan yang 408 e-THP lebih mahal dari 308 THP dan juga antara sedan termahal dalam segmen C. Namun dengan lambakan ciri-ciri dan kemudahan seperti Electronic Stability Program (ESP), ABS, Anti-Skid Regulation (ASR), Hill-start Assist (HSA) dan Dynamic Stability Control (DSC), anda sebenarnya membayar kurang dari RM150,000 untuk sebuah sedan segmen C dengan tahap kelengkapan bertaraf segmen D.
Untuk lebih nilai, sedan itu turut menampilkan ciri Smart Park Assist II yang membantu memarkir kenderaan dalam posisi sisi atau menegak secara automatik. Blind Spot Information System (BLISS) yang memaklumkan pemandu tentang kenderaan lain yang berada pada titik buta melalui lampu amaran pada cermin sisi juga disertakan.
Malah dengan harga itu anda juga membayar untuk pengalaman pemilikan yang tidak memeningkan kepala. Ini kerana 408 e-THP didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan Peugeot Roadside Assistance 24H untuk tiga tahun. Anda juga dapat merasai nikmat menjadi seorang pemilik Peugeot dengan keahlian Peugeot Privilege dan akses ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang.
Spesifikasi Peugeot 408 e-THP
Enjin: high-pressure turbo, empat silinder
Kapasiti: 1,998 cc
Kuasa: 165 hp, 245 Nm
Transmisi: Quickshift automatik enam-kelajuan
0-100km/j: 8.2 saat
Kelajuan maksimum: 215 km/j
Harga: RM143,888
No Comment