Berita Auto

Proton Persona 2016 – Pandangan Awal

2016 mungkin tahun yang paling sibuk pernah dialami Proton sejak ditubuhkan lebih 30 tahun dahulu, dengan pelancaran tiga model baharu yang boleh dikatakan bakal menentukan nasib syarikat kereta nasional itu.

Bermula dengan Perdana pada bulan Jun, Proton meneruskan strategi mereka untuk merampas kembali syer pasaran dengan pelancaran Persona baharu pada bulan lepas. Kami dan rakan media lain berpeluang mencuba sedan segmen B terbaru itu dalam sesi uji pandu dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Berikut adalah beberapa pandangan awal kami tentang Persona:

Rupa luaran mempesonakan

Proton Persona

Rekaan segar dan bertenaga yang pertama kali diperlihatkan pada Iriz diterjemahkan ke dalam bentuk sedan dengan baik sekali. Muka hadapan tampak lebih garang manakala bahagian belakang yang unik dengan lampu berbentuk ‘C’ menyerlahkan karakter Persona.

Ketika berhenti di Felda Jengka 19 untuk aktiviti CSR, reaksi dari penduduk setempat adalah memberangsangkan. Rata-rata mereka menyukai gaya agresif sedan tersebut.

Kabin yang luas

Proton Persona

Hasil rekaan garis bumbung dan ‘greenhouse’ yang bijak, Persona mempunyai bahagian dalaman yang luas walaupun ianya kelihatan agak kecil dari luar. Tempat duduk hadapan juga telah direka semula untuk memberikan ruang kaki yang lebih luas untuk penumpang belakang.

Praktikaliti juga diberikan penekanan. Varian Executive yang kami pandu didatangkan dengan pelbagai kemudahan seperti pemegang cawan di tengah konsol dan pintu, cangkuk, dan juga port pengecas USB untuk penumpang belakang.

Prestasi bertenaga, CVT lebih cekap

Proton Persona

Persona didatangkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.6 liter DOHC empat silinder VVT yang juga digunakan untuk Iriz. Dengan 107 hp pada 5,750 rpm dan 150 Nm pada 4,000 rpm, enjin tersebut terbukti berupaya untuk menggerakkan sedan itu walaupun ketika mendaki bukit di Karak.

CVT keluaran Punch yang digunakan terasa lebih responsif kepada input dari pendikit. Ia juga sesuai untuk pemanduan efisyen. Kami merekodkan penggunaan bahan api sebanyak 5.4 liter bagi setiap 100 km ketika sesi pemandu Eco melalui lebuh raya, jalan utama dan sedikit trafik di tengah bandar Kuantan.

Ligat dan stabil

Proton Persona

Biarpun disasarkan untuk mereka yang bekeluarga, Persona cekap ketika menangani selekoh-selekoh di Karak. Pengendaliannya tidak jauh berbeza dengan saudara hatchback-nya walaupun mempunyai bahagain belakang yang lebih panjang.

Talaan suspensi juga seimbang dari segi prestasi dan keselesaan. Hentakan diserap dengan baik dan ini dapat dirasai ketika melalui jalan lama ke Gambang yang sedikit beralun.

Penuh dengan ciri-ciri keselamatan

Proton Persona

Seperti yang kita tahu, salah satu kekuatan kenderaan Proton adalah ciri-ciri keselamatannya. Struktur Persona yang dibuat menggunakan proses Hot Press Forming Steel (HPFS) digabungkan dengan ciri-ciri seperti beg udara (enam untuk varian Premium, dua untuk lain-lain), ABS dengan EBD dan Brake Assist, Electronic Stability Control (ESC) dan Hill-hold Assist.

 

Previous post

Tesla Dipilih Untuk Memasang Penyimpanan Li-Ion Bateri Terbesar Dunia

Next post

Mengapa Kereta Diesel Adalah Pilihan Hari Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *