Renault Koleos Dilancarkan – Harga Pengenalan RM172,800
TC Euro Cars (TCEC) hari ini memperkenalkan SUV utama Renault yang baru iaitu Koleos untuk pertama kalinya di Malaysia.
“Sebagai sebuah model utama, Koleos serba baharu akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat di lebih 80 buah negara di seluruh dunia. Kami sangat berbangga kerana Malaysia menjadi antara beberapa buah negara terawal di dunia memperkenalkan SUV Renault yang sangat ditunggu-tunggu ini. Selaku model penting buat Renault, ia akan menjadi wajah utama untuk jenama ini di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Kuan Kim Luen.
Koleos memiliki gayaan sama dengan Talisman – model saloon keluarga bersaiz besar baharu Renault – iaitu padat dengan gaya dan kemampuan yang dikaitkan dengan segmen SUV. Dengan jarak roda sepanjang 2,705mm, Koleos juga menawarkan menawarkan ruang kepala, bahu dan siku yang luas.
Dari segi ruang penyimpanan, Koleos mempunyai but sebesar 550 liter (1,690 liter dengan kerusi belakang dibaringkan) dan storan tambahan sebanyak 35 liter, termasuk 11 liter pada glove box dan tujuh tempat menyimpan minuman di konsol tengah. Urusan masuk ke dalam kenderaan dibantu oleh sudut bukaan pintu yang luas iaitu 70 darjah di hadapan dan 77 darjah di belakang.
Koleos serba baharu dilengkapi sistem multimedia R-LINK 2 yangmengkoordinasikan fungsi-fungsi seperti infotainmen, navigasi, telefon bebas tangan, radio dan ciri bantuan pemandu. Ciri-ciri utama sistem ini adalah:
- Format skrin potret bersaiz 8.7 inci
- Fungsi-fungsi sentuhan seperti tablet peribadi
- Paparan navigasi bersama imej bangunan 3D
- Ketersambungan dan pilihan mengecas, termasuklah Bluetooth, penstriman audio, satu port USB, satu soket jack 3.5mm, satu punca kuasa 12V dan bergantung kepada varian, satu slot kad SD
- Ciri pengecaman suara untuk arahan navigasi dan telefon, di samping kemampuan untuk membaca email
- Empat laman utama yang boleh diubah suai
- Rangkaian luas aplikasi yang boleh didapati daripada R-Link Store
Ia menampilkan enjin petrol 2.5 liter dengan 171 PS dan tork puncak 226 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik X-Tronic baharu untuk peningkatan prestasi serta menjimatkan bahan api. Ia juga sangat responsif pada kelajuan enjin yang rendah dan sederhana dengan tork 200 Nm boleh diperoleh pada serendah 1,800 rpm.
Dari segi keselamatan, Koleos dilengkapi dengan:
- Dua beg udara adaptif yang mengembung berdasarkan kepada jenis impak dan posisi penumpang di dalam kereta
- Dua beg udara lateral toraks/bahu untuk penumpang hadapan,
- Dua beg udara tirai
- Blind Spot Warning
- Perehat kepala anti-piat untuk penumpang hadapan dan belakang
- Tempat duduk hadapan anti-gelongsor ke hadapan
- Cagak ISOFIX belakang untuk tempat duduk kanak-kanak
- Semua tali pinggang keledar dilengkapi ciri pra-regangan dan pengehad beban
Renault Koleos ditawarkan pada harga pengenalan yang telah diumumkan sebelum ini iaitu RM172,800 di Semenanjung Malaysia dan RM116,800 di Langkawi (di atas jalan dan GST, tidak termasuk insurans dan untuk pendaftaran peribadi sahaja).
Ia boleh didapati dalam empat warna iaitu putih (Universal White), kelabu metalik (Grey Metallic), hitam metalik (Black Metallic) dan biru (Meissen Blue), dengan rim aloi 18 inci jenis Argonaute. SUV itu turut hadir dengan jaminan pengeluar selama lima tahun dan perbatuan tanpa had.
No Comment