Volkswagen Jetta Facelift – Tiga Varian, Harga Dari RM108,990
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini secara rasminya melancarkan Volkswagen Jetta facelift ke pasaran Malaysia. Ditawarkan dalam tiga varian, sedan itu dijual pada harga bermula dari RM108,990 untuk Trendline, RM117,990 untuk Comfortline dan RM128,990 bagi Highline.
Jetta baharu merupakan model Volkswagen pertama yang dilancarkan oleh VPCM sejak syarikat itu memulakan operasi secara rasmi pada September tahun ini.
Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin turbo 1.4 liter TSI generasi baharu yang mampu menjana 150 PS dan 250 Nm tork di antara 1,500 hingga 3,500rpm. Dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan, Jetta berupaya memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 8.6 saat. Namun di sebalik prestasi itu, Jetta menawarkan penggunaan bahan api sekitar 5.0 liter bagi setiap 100 km.
Yang paling penting, Jetta juga mendapat pengiktirafan EEV (Kenderaan Cekap Tenaga), dengan adanya ciri-ciri seperti fungsi start/stop, sistem brek janaan semula dan fungsi luncuran (coasting).
Fungsi Start/Stop akan mematikan enjin apabila kereta berhenti sepenuhnya dan dihidupkan semula apabila ia mula bergerak, manakala sistem brek janaan semula berfungsi mengitar semula tenaga dengan menyimpan dan menggunakannya ketika hendak memecut. ‘Coasting’ pula membolehkan pemandu bergerak dalam jarak lebih jauh apabila pemandu tidak menekan pedal minyak.
Dari aspek reka bentuk, rupa paras Jetta yang sedia kemas dipertingkatkan lagi dengan rekaan gril, bampar, serta lampu baharu. Varian Highline mendapat rim aloi “Queensland” bersaiz 17 inci, gril krom, lampu kabus hadapan dan belakang LED, serta lampu utama bi-xenon automatik dengan lampu nyalaan siang LED serta fungsi ‘Leaving Home’ dan ‘Coming Home’.
Selain itu, sedan itu juga dilengkapi dengan lampu pada cermin luar untuk membantu pemandu di kawasan yang gelap serta sistem pembersihan lampu utama untuk penglihatan yang tidak terjejas.
Ruang kabin Jetta pula menampilkan upholsteri kulit ‘Vienna’, perehat tangan dengan ketinggian boleh laras, pendingin hawa belakang, tempat duduk pemandu elektrik 12 cara dan sistem pendingin hawa automatik “dual-Climatronic”.
Antara ciri-ciri lain yang disertakan termasuklah fungsi kemasukan tanpa kunci KESSY, butang penghidup enjin, roda stereng kulit pelbagai fungsi, paddle shifters, cermin pandang belakang auto malap, kawalan jelajah, tingkap kuasa automatik dan ruang storan hadapan yang sejuk.
Sistem infotainmen Jetta terdiri dari unit utama RCD330G lengkap dengan skrin sesentuh, pemain CD tunggal (sesuai untuk WMA/MP3), USB, antara muka iPod, sokongan AUX-IN, slot kad SD serta fungsi Bluetooth untuk peranti mudah alih dan penstriman audio. Turut disertakan adalah MirrorLink yang berfungsi menghubungkan telefon pintar dengan kereta.
Dari segi keselamatan, Jetta dilengkapi sistem brek multi-pelanggaran, pengelap brek cakera, enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), ABS dan Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS) serta Hill-hold Control. Tambahan pula, perehat kepala tempat duduk hadapan yang telah dipertingkat aspek keselamatannya, sistem penggera anti-kecurian bersama sistem pemantauan dalaman, tingkap kuasa ‘anti-pinch’ dan tapak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak turut disertakan.
Jetta baharu dan mana-mana kereta Volkswagen yang dibeli selepas 1 September akan menikmati jaminan pengilang selama lima tahun, serta bantuan tepi jalan untuk tempoh yang sama. Ia ditawarkan dalam empat warna iaitu putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black).
No Comment