Audi Tayang Q5 dan RS3 Sedan di Paris Motor Show
Q5
SUV generasi kedua ini muncul lapan tahun selepas pelancaran model generasi pertama. Perwatakan gagah Q5 diperkemaskan lagi dengan elemen-elemen rekaan terkini termasuk gril ‘Singleframe’ dan lampu hadapan yang lebih kemas yang boleh didapati dengan LED atau Matrix LED.
Gerbang roda serta garis badan yang lebih menonjol menyerlahkan lagi perwatakan Q5 dari bahagian sisi. Di belakang, SUV itu menampilkan lampu LED dengan pilihan penunjuk isyarat dinamik serta diffuser yang memuatkan dua muncung ekzos.
Berukuran 4.66 m panjang, 1.89 m lebar dan 1.66 m tinggi dengan jarak roda sebesar 2.82 meter, Q5 baharu nyata lebih besar dari sebelum ini. Namun, berat kenderaan berjaya dikurangkan sebanyak 90 kg dengan penggunaan keluli berkekuatan tinggi dan aluminium.
Antara ciri terkini yang ditawarkan di dalam kabin Q5 termasuklah kokpit virtual Audi sebesar 12.3 inci, sistem infotainmen MMI dengan skrin sesentuh 8.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta head-up display. Tempat duduk belakang boleh dilipat kepada tiga bahagian, mendedahkan ruang but sebesar 610 liter atau 1,550 liter jika ia dilipat sepenuhnya.
Di Eropah, Q5 baharu dilancarkan dengan empat enjin TDI; 2.0 liter dengan 150 hp, 163 hp atau 190 hp dan 3.0 liter dengan 286 hp dan 620 Nm, dan satu enjin 2.0 TFSI dengan 252 hp. Pilih transmisi yang ditawarkan adalah manual enam kelajuan dan S-tronic tujuh kelajuan. Varian 3.0 TDI hanya boleh didapati dengan transmisi tiptronic lapan kelajuan.
Q5 juga dilengkapi dengan suspensi belakang jenis lima link dan sistem stereng kuasa elektromekanikal, yang boleh dinaiktaraf kepada stereng jenis dinamik. Ia juga didatangkan dengan suspensi udara dengan lima tahap ketinggian yang boleh dipilih melalui sistem Audi drive select.
Pelbagai teknologi juga disertakan dan ini termasuk Adaptive Cruise Control, Cross Traffic Assist Rear, Exit Warning System, Collision Avoidance Assist, Turn Assist dan sebagainya.
RS3 Sedan
Ini adalah kali pertama jenama ini mengeluarkan RS3 sedan, yang juga model paling berkuasa di dalam keluarga A3. Ia dikuasakan oleh enjin TFSI 2.5 liter lima silinder yang sama dengan RS3 hatchback, namun jumlah kuasa telah dinaikkkan ke 400 hp dan 480 Nm tork.
Dipadankan dengan kotak gear S-tronic tujuh kelajuan dengan klac berkembar dan sistem pacuan semua roda Quattro, RS3 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Quattro, bersama-sama dengan suspensi, kotak gear, enjin, stereng dan penutup ekzos boleh ditetapkan dalam mod Comfort, Auto atau Dynamic melalui Audi drive select. Selain itu, Quattro juga merangkumi sistem kawalan tork dan ESC dengan mod Sport yang membolehkan pemandu melakukan aksi drift.
Berbanding dengan A3, pendirian RS3 direndahkan serta dilebarkan sedikit untuk pemanduan yang lebih mantap. Rupa luarannya dihiasi dengan kit badan RS manakala ruang kabinnya menampilkan tempat duduk sporty dengan kemasan kulit serta logo ‘RS’.
No Comment