Ducati SuperSport di Intermot
Saban tahun, pertunjukkan motosikal Intermot menjadi pentas bagi pengeluar-pengeluar yang ingin bermegah dengan produk dan rekaan terbaru masing-masing.
Tahun ini di Cologne, Jerman, hampir kesemua jenama utama ada produk segar yang diketengahkan termasuklah Ducati yang memperkenalkan model terbaru mereka iaitu SuperSport. Menurut jenama itu, SuperSport dibangunkan khas untuk mereka yang menghargai keseronokan menunggang.
SuperSport menampilkan enjin 937 cc Testastretta ‘V-twin’ yang menghasilkan 113 hp yang juga digunakan untuk Hypermotard 939. Motosikal ini sesuai untuk tunggangan jarak jauh dengan adanya tangki sebesar 16 liter dan penghadang angin Plexiglass boleh laras.
Ciri-ciri elektronik yang disertakan termasuklah ABS, Traction Control dan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Touring dan Urban. SuperSport juga didatangkan dalam versi “S” yang membawa beberapa penambahbaikan seperti suspensi Öhlins dan ‘quickshifter’.
Jelas sekali reka bentuk SuperSport mengambil inspirasi dari Panigale. Ia menampilkan lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang LED, manakala rangkanya dibiarkan terdedah seperti model-model Ducati yang lain. Namun, dengan bar hendal yang sedikit tinggi, posisi menunggang SuperSport pasti lebih selesa.
No Comment