Hidup Dengan Chevrolet Cruze
Sudah lebih sebulan sejak penulis menerima kunci Chevrolet Cruze untuk pandu uji jangka masa panjang. Sejujurnya, penulis tidak pernah memandu kenderaan Chevy sebelum ini maka tidak ada sebarang harapan atau jangkaan yang diletakkan ke atas pesaing sedan segmen C ini.
Walaupun hanya menggunakannya pada masa-masa tertentu (berselang-seli dengan kereta penulis sendiri dan juga kereta pandu uji lain), penulis sebenarnya telah memandu Cruze sejauh lebih 1,000 km dan harus dikatakan ia adalah pengalaman yang cukup menarik setakat ini. Ini antara sebabnya:
Ia sedan yang kacak
Ya, walaupun sudah lama berada di pasaran dan model generasi kedua bakal dijual tidak lama lagi, Cruze masih tampan pada pandangan, terutamanya dalam edisi Sport ini. Berbanding dengan varian biasa, Cruze Sport didatangkan dengan kit badan penuh termasuk spoiler, diffuser belakang yang memuatkan paip ekzos berkembar dan rim 17-inci.
Ruang kabin berfokuskan pemandu
Tahukah anda, susun atur bahagian dalaman Cruze diinspirasikan oleh Corvette? Kedua-dua kereta mempunyai rekaan kokpit berkembar yang dipisahkan oleh konsol tengah. Butang dan alat kawalan berada dalam jangkauan, sementara stereng pelbagai fungsi memastikan pemandu fokus pada setiap masa.
Memudahkan kehidupan
Cruze menampilkan pelbagai ciri-ciri yang memudahkan pengguna seperti ‘keyless entry’, butang penghidup enjin dan but yang boleh dibuka dari jauh menggunakan kunci. Ia juga mempunyai kamera undur, membuatkan kerja meletak kenderaan terutama di kawasan sempit lebih mudah.
Kuasa enjin cukup
Walaupun ia tidak sehebat enjin-enjin turbo lain yang lebih kecil, enjin 1.8 liter Ecotec milik Cruze menawarkan bekalan kuasa yang cukup (140 hp dan 176 Nm) untuk menggerakkannya dengan lincah. Kuasa disebarkan secara sama rata namun enjin tersebut dirasakan tidak gemar untuk beroperasi pada tahap lebih dari 4,000 rpm melainkan pedal ditekan rapat.
Pengendalian yang baik
Cruze mempunyai rangka ‘unibody’ yang merangkumi 60 peratus keluli berkekuatan tinggi yang dipadankan dengan suspensi jenis MacPherson di bahagian hadapan dan ‘torsion beam’ di belakang. Hasilnya adalah sedan yang lincah yang mampu mengambil selekoh tajam tanpa masalah. Kalaulah sterengnya lebih ‘hidup’…
Tiada kompromi dalam keselesaan
Mempunyai casis yang kukuh tidak bermakna ia mempunyai pemanduan yang terlalu keras. Sebaliknya, Cruze mampu untuk ‘menyerap’ permukaan jalan yang tidak rata dengan baik sekali dan walaupun terlanggar lubang, gegarannya tidaklah terlalu kuat. Satu lagi sifat Cruze yang boleh dipuji adalah tahap NVH (noise, vibration and harshness) yang rendah.
No Comment