Motosikal / Skuter / Roda

Kasma Sahkan Gelaran Keseluruhan CP130

Pemburuan gelaran juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS kini berakhir setelah Kasma Daniel Kasmayudin mengesahkan gelaran pada saingan pusingan kesembilan di Jempol, Negeris Sembilan sekaligus meletakkan namanya selaku juara termuda kategori tersebut, hari ini.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu mengesahkan gelaran setelah berjaya muncul naib juara di belakang Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’58.890s.

Kasma yang bermula dari petak ketiga pada satu ketika mendahului perlumbaan sebelum dipintas Zaqhwan pada pusingan ke-10 sebelum menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’58.975s sekaligus meletakkan namanya sebagai juara termuda CP130 pada usia 16 tahun 1 bulan 20 hari mengatasi rekod Hafizh Syahrin Abdullah pada usia 16 tahun 6 bulan.

Zaqhwan (21) fight with Kasma (27)

Mohd Affendi Rosli (PETRONAS Yamaha-CKJ) meraih podium pertama musim 2016 dengan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan masa 14’01.058s.

‘Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan di atas kejayaan ini dan ia merupakan kejayaan kami bersama,” jelas Kasma gembira selepas menerima trofi daripada YAM Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz, Raja Muda Negeri Sembilan.

“Pasukan telah menyediakan jentera yang sangat baik dan pada masa sama membolehkan saya mengerah segala kemampuan yang ada,” jelasnya.

Selain juara termuda, kemenangan ini meletakkan Kasma sebagai remaja di bawah usia 20 tahun ketiga yang memenangi gelaran kelas perdana termasuk Zaqhwan yang bergelar juara CP130 pada tahun 2014 ketika berusia 18 tahun.

Selain Kasma, rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham yang gagal menamatkan perlumbaan turut mengesahkan gelaran sebagai naib juara keseluruhan musim 2016.

KASMA-03

Dalam saingan CP115, Azroy Hakeem Anuar menghadiahkan kemenangan kedua buat Yuzy Racing setelah menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’46.006s mengatasi duo PETRONAS Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairues di kedudukan kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa 11’47.308s dan 11’50.324s.

Gelaran naib juara terus menjarakkan kedudukan Akid di tangga teratas keseluruhan dengan 126 mata, 18 mata mengatasi Tengku amirul Haffirudin dan Haziq yang berkongsi 108 mata. Dua podium yang diraih mengesahkan kedudukan PETRONAS Yamaha Maju Motor sebagai juara berpasukan dengan 234 mata.

Sementara itu, dalam saingan Wira, Md Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) mensia-siakan peluang untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-14 setelah terjatuh ketika bersaing sengit untuk merebut kedudukan podium sambil pencabar utama, Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech Racing) menghidupkan peluang untuk merebut gelaran keseluruhan apabila memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 9’45.282s.

Podium CP130

Tempat kedua milih rakan sepasukan Shafiq, Saiful Azhary Muhamad dengan masa 9’47.032s manakala Md Izam Ikmal Izami meraih podium pertama musim 2016 setelah menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dengan masa 9’51.315s.

Shafiq kini mendahului kedudukan dengan 176 mata, 23 mata mengatasi Helmi di tangga kedua dengan 153 mata manakala Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) yang tidak beraksi di Jempol akibat kecederaan kekal di tangga ketiga dengan 103 mata.

Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Taiping, Perak pada 19 dan 20 November.

Previous post

G-Power Bina Semula BMW M2

Next post

Temu Bual Bersama Wira Moto3 Malaysia - Khairul Idham Pawi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *