Mercedes-Benz Malaysia Lancarkan GLC Coupe, GLS dan G-Class
Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan tiga model baharu iaitu GLC Coupe, GLS dan juga G-Class, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju dalam segmen SUV premium di negara ini.
GLC Coupe
Seperti GLE Coupe yang dilancarkan pada awal tahun ini, GLC Coupe merupakan sebuah SUV yang direka untuk kelihatan seperti sebuah kenderaan coupe. Ditawarkan dalam varian GLC 250 4Matic Coupe, SUV itu menampilkan kit badan AMG Line yang merangkumi gril radiator berlian dengan kemasan krom serta rim AMG bersaiz 20 inci.
Bahagian dalamannya pula dihiasi dengan kulit Artico, pedal dan karpet AMG, serta stereng ‘flat bottom’. Antara teknologi yang boleh didapati termasuklah lampu LED Intelligent Light System yang lengkap dengan fungsi ‘cornering light’, ‘active light’ dan pengubahsuaian dinamik.
Varian ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder 211 hp dan 350 Nm tork, yang disalurkan ke tayar melalui kotak gear 9G-Tronic Plus. Untuk prestasi yang lebih menyerlah, pemandu boleh memilih mod pemanduan melalui ciri Dynamic Select yang tersedia.
Selain itu, GLC Coupe juga dilengkapi dengan ciri-ciri seperti pencahayaan dalaman, Hands Free Access dan juga Active Parking Assist dengan Parktronic bagi memudahkan lagi urusan keluar masuk dari tempat letak kereta.
GLC 250 4Matic Coupe dijual pada harga bermula dari RM423,888 atau RM428,888 dengan sistem bunyi Burmester.
GLS
Untuk mereka yang mungkin tidak tahu, GLS boleh dikatakan sebagai S-Class di kalangan SUV. Varian yang ditawarkan untuk pasaran negara ini iaitu GLS 400 4Matic menampilkan kit badan AMG Line berserta rim aloi 21 inci.
Ruang kabin SUV itu juga tidak kurang hebatnya dengan penggunaan bahan dan kemasan berkualiti tinggi, serta kelengkapan canggih seperti sistem Apple CarPlay dan sistem bunyi Harman Kardon Logic 7. Selain mewah, bahagian dalamannya juga luas dengan tujuh tempat duduk dan but berkapasiti 2,300 liter.
GLS generasi baru menawarkan perkakasan terkini seperti Dynamic Select dengan mod Off-Road, Comfort, Slippery, Sport dan Indvidual, sistem suspensi udara Airmatic dengan sistem redaman ADS serta transmisi automatik 9G-Tronic.
Varian GLS 400 4Matic mempunyai 333 hp dan 480 Nm tork yang disumbangkan oleh enjin V6 biturbo, dan seperti model-model yang lain, ia juga didatangkan dengan fungsi ECO Start/Stop.
GLS 400 4Matic dijual pada harga bermula dari RM888,888.
G-Class
Sejak diperkenalkan pada tahun 1979, G-Class telah melalui pelbagai proses evolusi sebagai sebuah kenderaan yang asalnya digunakan hanya untuk aktiviti off-road. Selain untuk mereka yang lasak, SUV ini juga semakin popular di kalangan golongan korporat.
Varian Mercedes-AMG G 63 digerakkan oleh transmisi automatik AMG Speedshift Plus 7G-Tronic dan enjin biturbo 5.5 liter V8 yang menghamburkan 571 hp dan 760 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.
Walaupun tidak banyak berubah, rupa G-Class kini lebih moden dengan adanya gril radiator AMG, bampar dengan lubang ambilan udara yang lebih besar serta dapra yang lebar. Lencana “V8 Biturbo” dan “G 63” serta rim AMG 21 inci dalam warna matt black melengkapkan imej gagah SUV yang digelar sebagai “The Godfather” itu.
Mercedes-AMG G 63 boleh menjadi milik anda dengan harga bermula dari RM1,181,888.
No Comment