Berita Auto

Pandu Uji – Ford Focus 1.5L EcoBoost Sport+

Mengecilkan saiz enjin dan menambah pengecas turbo sudah menjadi satu trend di kalangan pengeluar-pengeluar kenderaan utama. Sebagai salah satu jenama yang paling besar di dunia, Ford mengambil langkah berani ke arah era baru itu dengan pelancaran rangkaian enjin EcoBoost pada tahun 2009.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Banyak yang telah berubah sejak tahun keramat itu dan kini hampir semua model Ford boleh didapati dalam versi EcoBoost. Ini termasuklah Focus ‘facelift’ generasi ketiga yang dilancarkan di Malaysia pada Mac tahun ini. Ia ditawarkan dalam tiga varian; Trend hatchback (RM118,888), Titanium+ sedan (RM139,888) dan juga Sport+ hatchback (RM139,888) yang sempat penulis pandu uji baru-baru ini.

Ford Focus EcoBoost

Sudah tentu, fokus kali ini terletak pada enjin 1.5 liter empat silinder EcoBoost yang menghasilkan 180 PS pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork pada 1,600 rpm, menjadikan ia model paling berkuasa di dalam segmennya. Bersama dengan kotak gear automatik enam kelajuan jenis ‘torque converter’, enjin turbo itu menggantikan unit 2.0 liter Duratec dan transmisi enam kelajuan dengan klac kering berkembar yang digunakan pada model pra-facelift.

Dari aspek reka bentuk, Focus Sport+ mengekalkan bentuknya namun elemen-elemen lain seperti lampu hadapan, gril, bampar, lampu belakang dan banyak lagi jelas telah diperhalusi. Gril hadapan a la Aston Martin itu memberikan Focus imej yang lebih berani yang hampir sama dengan Mondeo, sementara lampu belakang LED yang lebih kecil nampak serasi dengan garis badan hatchback itu. Spoiler belakang dan diffuser melengkapkan penampilan sporty Focus.

Ford Focus EcoBoost

Ruang kabinnya mempunyai suasana yang agak sama namun jika diperhatikan, konsol tengahnya lebih langsing dari sebelum ini. Dengan ini, ruang kaki pemandu dan penumpang hadapan terasa lebih luas. Sementara itu, skrin TFT 4.2 inci dan sistem audio yang penuh dengan butang sebelum ini digantikan dengan unit Sony yang lebih ringkas dan skrin sesentuh lapan inci yang boleh digunakan untuk mengakses sistem infotainmen SYNC 2.

Walaupun secara peribadi penulis jarang menghubungkan telefon pintar sendiri ke sistem infotainmen kenderaan, harus diakui yang SYNC 2 lebih lancar dan mampu menjalankan tugas seperti memainkan lagu dan membuat panggilan tanpa sebarang masalah. Sistem pengenalan suara juga disertakan dan boleh digunakan dengan menekan butang pada belah kanan stereng. Cuma kelemahannya ia tidak mempunyai sistem navigasi terbina, jadi anda mungkin masih perlu bergantung pada applikasi seperti Google Maps atau Waze.

Ford Focus EcoBoost

Selain itu, Ford juga telah menambahbaik sistem Park Assist yang kini merangkumi parkir undur selain fungsi parkir sisi yang sedia ada. Dalam bahasa yang mudah, sistem ini akan mengira sudut stereng yang optimum untuk masuk ke ruang parkir, sama ada secara undur atau dari sisi. Pemandu hanya perlu mengawal gear, pedal dan brek. Prosesnya mudah namun boleh jadi agak menggerunkan terutamanya bagi yang pertama kali mencuba.

Ciri-ciri tambahan yang lain termasuklah Blind Spot Information System (BLIS), Cross Traffic Alert dan MyKey. Sistem ini membolehkan pengguna (terutamanya ibu-bapa yang mempunyai anak remaja yang boleh memandu) menetapkan mod yang menggalakkan tabiat memandu berhemah seperti penggunaan tali pinggang keledar, mengehadkan kelajuan maksimum dan tahap kelantangan sistem audio. Tambahan pula, ciri Active City Stop telah dipertingkatkan supaya berfungsi pada kelajuan 50 km/j, berbanding 30 km/j sebelum ini.

Ford Focus EcoBoost

Walaupun mempunyai senarai sistem bantuan dan keselamatan yang menarik, sejujurnya penulis lebih berminat dengan gandingan enjin EcoBoost yang bertenaga dan casis yang lincah. Peralihan kepada kotak gear jenis torque converter nyata memberi kesan positif dari segi pergerakan pada kelajuan rendah yang lancar. Ia masih mengalami ‘turbo lag’ namun dengan 240 Nm seawal 1,600 rpm, Focus mempunyai kemampuan memecut yang boleh membuatkan anda tidak tidur malam.

Lebih mengghairahkan, kuasa yang dihamburkan terasa tidak berkesudahan walaupun jarum rpm berhampiran dengan ‘redline’. Sebaran tork dan kuasa yang luas dari enjin EcoBoost itu terbukti begitu sesuai dengan transmisi enam kelajuannya yang mampu beroperasi dengan baik sama ada dalam keadaan kenderaan di pandu perlahan atau ketika dilenjan.

Ford Focus EcoBoost

Satu lagi kelebihan Focus terletak pada sistem penggantungan (suspension) sport yang ditala khas untuk memberikan kepuasan dari aspek keselesaan dan prestasi. Permukaan yang tidak rata diserap dengan lembut dan pada masa yang sama, ia ‘melekat’ pada permukaan jalan seperti Velcro apabila dipandu laju di selekoh.

Turut menyumbang adalah Electronic Power-Assisted Steering (EPAS) yang bertindak balas pada kelajuan kenderaan. Stereng akan menjadi sedikit ringan pada kelajuan rendah (contohnya ketika mencari ruang parkir) dan menjadi lebih berat jika jarum mencecah 100 km/j dan ke atas. Ia juga mempunyai kadar tindak balas yang cepat, sesuai untuk pemanduan agresif.

Ford Focus EcoBoost

Focus EcoBoost bukan sahaja mempunyai pemanduan yang lebih dinamik, malah tahap Noise, Vibration and Harshness (NVH) nya juga lebih baik. Cermin hadapan, panel pintu dan bahan-bahan kalis bunyi adalah antara beberapa aspek yang diperbaik untuk memastikan kabin sentiasa senyap dan selesa.

Dengan rupa paras yang lebih kemas, rangkaian kuasa bertenaga dan ciri-ciri canggih yang berguna, tidak dinafikan yang Ford berjaya menghasilkan produk yang lebih baik berbanding sebelum ini. Ditambah dengan aspek praktikaliti yang baik, Focus adalah hatchback serba boleh yang sesuai untuk sesiapa sahaja tidak kira bujang atau berkeluarga.

Ford Focus EcoBoost

Spesifikasi Ford Focus 1.5L EcoBoost
Enjin: empat silinder, pengecas turbo
Kapasiti: 1,498cc
Kuasa: 180 PS @ 6,000rpm
Tork: 240 Nm @ 1,600 – 5,000 rpm
Transmisi: automatik 6 kelajuan dengan SelectShift
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM139,888

Previous post

Menangi Skuter SYM Attila Elizabeth Edisi Terhad Dari Domino's Pizza

Next post

Ferrari 488 GTB Dan 488 Spider Menang Anugerah Sukan Auto

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *