Pandu Uji Ringkas – Proton Saga 2016
‘Saga’ adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam lanskap automotif tempatan. Pertama kali dilancarkan pada tahun 1985, Saga tidak mengambil masa lama untuk menambat hati rakyat Malaysia dengan cirinya yang serba boleh dan harga yang sangat berpatutan.
Lebih 30 tahun selepas itu, Saga kini kembali sebagai sebahagian daripada barisan produk transformasi Proton selepas Perdana dan Persona. Sekilas pandang, model terbaru ini ternyata lebih menarik berbanding Saga FLX dan SV dengan reka bentuk yang lebih dinamik dan eksklusif. Selepas memandunya dari Shah Alam ke Ipoh pula, harus diakui yang sememangnya sedan kompak ini jauh lebih baik berbanding versi sebelum ini.
Bermula dari luaran, walaupun bentuk keseluruhan dikekalkan, Saga baharu tampil lebih segar dengan muka hadapan ‘Proton Wing’ dan bahagian belakang yang direka semula. Dari sisi, garis badan yang lebih menonjol memberikan Saga imej yang lebih gagah manakala garis bumbung yang rendah memberikannya imej yang lebih anggun. Rekaan rim juga lebih sporty kali ini.
Tiada perubahan ketara di ruangan kabin namun menurut Proton, bahan-bahan serta kaedah pembuatan yang digunakan adalah lebih berkualiti tinggi. Sebagai contoh, lapan lapisan filem digunakan untuk menghasilkan efek jahitan pada keseluruhan papan pemuka. Roda stereng juga terasa lebih lembut dan lebih selesa untuk dipegang. Konsol tengahnya yang direka semula turut menyumbang dalam aspek ergonomik.
Namun, apa yang lebih menarik tentang kabin Saga adalah tahap NVH-nya yang jelas lebih rendah. Dengan penggunaan tiga cagak (mounting) berbanding empat sebelum ini, deruman dan gegaran dari enjin dan CVT dapat dihalang daripada memasuki kabin tidak kira sama ada ketika sedang bergerak laju di lebuh raya atau perlahan. Bunyi angin masih kedengaran terutamanya dari bahagian tingkap tetapi secara keseluruhannya ruang kabin Saga baharu adalah lebih senyap dan selesa.
Berbekalkan 94 hp dan 120 Nm tork yang dihasilkan oleh enjin 1.3 VVT baharu, Saga kini lebih seronok dipandu. Perbezaan kuasa dengan unit Campro IAFM+ yang digunakan pada model sebelum ini tidaklah terlalu ketara, namun ‘jantung’ baru tersebut memberikan Saga prestasi yang lebih lancar dan bertenaga. Ia juga mempunyai daya pecutan yang lebih berterusan yang meyakinkan penulis terutamanya apabila sedang memotong.
Menurut Proton, Saga baharu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 12.2 saat (0.8 saat lebih pantas berbanding sebelum ini) untuk varian manual dan 13.1 saat (1.4 saat lebih pantas) untuk varian CVT.
Teknologi VVT yang digunakan turut menyumbang kepada penjimatan bahan api, yang dikatakan meningkat dari 12 hingga 14 peratus. Jika dipandu pada kelajuan purata 90 km/j, pesaing terdekat kepada Perodua Bezza ini mampu mencatat penggunaan sebanyak 5.4 liter bagi setiap 100 km untuk varian manual dan 5.6 liter setiap 100 km untuk varian CVT.
Dari aspek pengendalian, Saga menampilkan ‘strut tower brace’ dan beberapa penambahbaikan yang dilakukan pada suspensi hadapan. Hasilnya, bahagian hadapan sedan itu terasa lebih responsif kepada input dari stereng, memudahkan penulis untuk membetulkan kedudukan kereta sebelum melayan selekoh. Bahagian belakang juga lebih stabil dan tidak mudah terhuyung-hayang.
Walaupun pada asasnya ia tidak sebagus stereng dengan bantuan elektronik, sistem stereng hidraulik yang digunakan pada Saga tidak menjejaskan pengendalian sedan itu kerana ia masih cukup ringan untuk pemanduan harian. Pada masa yang sama, tindak balas yang diberikan terutamanya ketika mengambil selekoh pada kelajuan yang tinggi juga baik.
Secara keseluruhan, Saga baharu bukan sahaja lebih kacak dan mengujakan untuk dipandu, malah ia juga satu produk yang didatangkan dengan pakej yang lebih berbaloi berbanding sebelum ini. Bergantung pada varian, sedan ini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri baru termasuk kamera undur dengan paparan pada cermin pandang belakang, dua pengecas USB untuk penumpang belakang, sensor keliling dan lampu kabus belakang.
Ditambah pula dengan ciri-ciri keselamatan seperti cagak ISOFIX, dua beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Hill-hold Assist, Electronic Stability Control (ESC) dan Traction Control, Saga juga lebih selamat untuk seisi keluarga. Varian teratas iaitu Premium mendapat penarafan empat bintang dari ASEAN NCAP, satu bintang lebih baik berbanding sebelum ini. Dan yang penting, walaupun penuh dengan ciri-ciri terbaru, Saga kekal sebagai sedan dengan harga yang paling berpatutan dalam pasaran negara ini.
No Comment