Pendekatan Yamaha Hasilkan Keputusan Positif
Musim 2016 menyaksikan persaingan cukup kompetitif dikalangan pelumba-pelumba muda Super Siri PETRONAS Yamaha dengan empat pelumba kini terus bersaing sengit untuk mengejar gelaran keseluruhan menjelang perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, 22 dan 23 Oktober ini.
Menurut jurucakap bahagian Motorsports Yamaha, Michael Chai, tahun 2016 menyaksikan kemampuan pelumba-pelumba semakin meningkat dan tidak lagi hanya didominasi oleh seorang pelumba seperti Mohd Haziq Fairues yang memenangi kesemua perlumbaan pada musim 2015.
“Tahun ini kami memberi penekanan terhadap semangat berpasukan di kalangan pelumba-pelumba kategori ini. Selain merebut mata kejuaraan, Hong Leong Yamaha turut memperkenalkan sistem kutipan mata sendiri dengan membahagikan pelumba kepada beberapa pasukan terdiri dari pelumba yang laju dan yang berada di belakang. Ini supaya mereka saling membantu dan pelumba lebih berpengalaman akan memberi tunjuk ajar kepada rakan sepasukan bagi merebut mata yang tinggi,” jelas Chai.
Tambahnya, “Secara tidak langsung ini turut mengubah corak pemikiran mereka. Selain hanya menumpukan terhadap aksi individu, mereka turut membantu meningkatkan prestasi pelumba lain untuk berlumba dengan lebih baik dan laju. Ini menjadikan perlumbaan musim ini lebih sengit di setiap kelompok pelumba.”
Setakat lapan pusingan lepas, Mohd Fadli Shah Redzuan kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 125 mata, namun hanya satu mata mengatasi Mohd Faiz Zekri Sabri di kedudukan kedua. Mohd Syarifuddin Azman mengekori rapat di kedudukan ketiga dengan 121 mata manakala Mohd Alif Ashraf Tahiruddin dengan 114 mata di tangga keempat.
Chai turut menjelaskan dimana ada diantara pelumba-pelumba muda ini sudah mula menarik minat dan ditawarkan kontrak bersama pasukan-pasukan profesional untuk musim 2017. “Ini adalah perkembangan dan langkah yang baik untuk pelumba-pelumba ini terus mengembangkan karier mereka dalam dunia perlumbaan. Pencapaian sebegini memenuhi peranan perlumbaan Super Siri PETRONAS Yamaha yang menjadi landasan awal untuk pelumba-pelumba mengembangkan karier mereka.”
Peralihan pelumba-pelumba ke kelas terbuka secara tidak langsung membuka ruang kepada remaja-remaja lain yang turut bersemangat untuk menyemarakkan lagi dunia sukan permotoran negara.
“Program pencarian bakat pelumba ‘Cub Prix Rider Search 2017’ telahpun berlangsung sepanjang beberapa bulan ini dan ianya adalah percuma. Dengan sambutan menggalakkan ketika ini, kami turut berharap agar tempoh permohonan pelumba kategori satu pengeluar musim 2017 dilanjutkan bagi menarik minat lebih ramai bakat muda yang akan mengibarkan bendera negara sebagai juara pada masa akan datang.”
Bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dimana pada musim ini yuran komitmen berjumlah RM4000 perlu disediakan oleh pelumba-pelumba yang telah melepasi ujian pemilihan dan terpilih untuk beraksi dalam saingan perlumbaan satu pengeluar musim 2017.
“Kami percaya perlumbaan satu pengeluar ini telah menjadi landasan penting untuk pelumba-pelumba memulakan karier profesional mereka. Siri ini hanyalah sebagai langkah pertama, dan perjalanan mereka masih panjang dan penuh cabaran. Sebelum mereka melangkah jauh, pelumba sendiri dan keluarga juga perlu menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk mengejar impian mereka. Yuran komitmen ini hanya untuk mereka yang layak dan terpilih beraksi pada musim 2017 sahaja, dan bagi memastikan setiap yang terpilih itu akan menggunakan peluang ini dengan serius.
“Bagi pihak Hong Leong Yamaha sendiri, kami turut membelanjakan jumlah yang besar bagi mempersiapkan pelumba-pelumba ini. Siri perlumbaan seperti ini bukanlah tempat untuk berseronok, dimana pelumba boleh datang dan pergi megikut kehendak mereka. Kami mahukan peserta dan juga keluarga yang serius untuk bergelar pelumba, dan itulah sebab utama mengapa yuran komitmen ini diperkenalkan,” rumus Chai.
No Comment