Toyota Vios 2016 Kini di Malaysia – Harga dari RM76,500
Diperkenalkan sejak 2003, Toyota Vios merupakan model bukan nasional yang paling laris untuk 11 tahun lamanya. Model facelift generasi ketiga yang baru diperkenalkan ini membawa beberapa penambahbaikan utama termasuk enjin dan transmisi baharu yang membolehkan sedan itu menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Kali ini, Vios dilancarkan dengan enam pilihan varian iaitu:
- 1.5J Manual (RM76,500)
- 1.5J CVT (RM79,800)
- 1.5E CVT (RM83,900)
- 1.5G CVT (RM89,800)
- 1.5GX CVT baharu (RM92,800)
- 1.5 TRD Sportivo CVT (RM96,400)
Kesemua varian menerima enjin 2NR-FE 1.5 liter empat silinder baharu yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm. Kotak gear automatik empat kelajuan sebelum ini digantikan dengan CVT dengan mod tujuh kelajuan.
Berbanding dengan yang lama, enjin ini dilengkapi dengan teknologi Dual VVT-i yang menjanjikan penjimatan dan prestasi pada masa yang sama. Ia juga menggunakan palam pencucuh iridium untuk pembakaran yang lebih lengkap dan penutup enjin untuk mengurangkan bunyi bising dan getaran.
Juga disertakan adalah penunjuk ECO pada panel instrumen yang akan menyala apabila enjin beroperasi pada tahap paling optimum.
Selain dari rangkaian kuasa baharu, Vios juga menawarkan ciri-ciri keselamatan yang lebih komprehensif berbanding model sedia ada. Sebagai contoh, kesemua varian didatangkan dengan Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control, sensor undur serta ABS dengan Electronic Brake-force Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA).
Ciri-ciri keselamatan pasif pula terdiri dari struktur badan yang menyerap impak, dua beg udara, dan cagak ISOFIX pada kerusi belakang. Kamera undur pula hanya untuk varian TRD Sportivo, GX, G dan E.
Tidak banyak yang berubah dari segi rupa luaran namun Vios kini didatangkan dengan lampu projektor dengan lampu nyalaan siang. Pendatang baru iaitu GX menampilkan rekaan segar melalui kit badan khas (juga ditawarkan sebagai pilihan untuk varian E dan J) dengan rim aloi 15 inci yang dibalut tayar bersaiz 185/60.
Varian TRD Sportivo pula digayakan dengan kit badan baharu dan gril hitam eksklusif. Selain itu, sedan segmen B itu turut didatangkan dalam dua warna baharu iaitu Crimson Spark Red Metallic dan Super White II. White Pearl CS pula hanya untuk varian TRD Sportivo.
Keenam-enam varian menampilkan ruang kabin dengan skema warna hitam dan untuk TRD Sportivo, sedikit warna merah pada tempat duduk dan kemasan gentian karbon di sepanjang papan pemuka. Varian GX pula lebih menarik dengan upholsteri kulit dwi tona.
Untuk sistem infotainmen, varian TRD Sportivo, GX, G dan E dilengkapi dengan skrin sesentuh bersaiz 6.8 inci dan pemain DVD. AUX, USB, Bluetooth serta sistem pengenalan suara turut disertakan. Varian J pula mendapat unit 2-DIN dengan USB, AUX dan Bluetooth.
Akhir sekali, antara kemudahan-kemudahan yang disediakan termasuklah sistem Smart Entry, butang penghidup enjin, butang pembuka but pada kunci, cermin sisi boleh lipat dan juga cermin akustik untuk pemanduan yang lebih senyap.
Seperti model-model Toyota yang lain, Vios baharu dilindungi dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Jaminan ini juga boleh dipindahkan kepada pemilik baharu sekiranya kereta ini dijual dalam tempoh jaminan.
No Comment