Vespa Sprint Adventure Edisi Terhad – RM17,000
Naza Premira telah memperkenalkan Vespa model edisi terhad iaitu Sprint Adventure. Dengan harga asas RM17,000, model itu menampilkan kelainan berbanding model Sprint asas dengan aksesori baru seperti ‘carrier’ hadapan dan belakang serta penghadang angin. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Green Matt dan Desert Sand.
Dari aspek mekanikal, tidak ada perbezaan antara Sprint Adventure dan Sprint. Skuter ini menggunakan khidmat enjin silinder tunggal, empat lejang bersesaran 150 cc yang menghasilkan 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa disalurkan ke tayar belakang melalui CVT.
Ia dilengkapi dengan suspensi monoshock berkembar di hadapan dan penyerap berkembar dengan empat tetapan ‘preload’ di bahagian belakang. Sistem breknya juga merangkumi ABS.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun jenama itu yang ke-70, Vespa menganjurkan Siri Jelajah Asia Tenggara, di mana sekumpulan penunggang Vespa Adventure yang terdiri daripada wartawan, selebriti dan peminat Vespa akan berkonvoi dari Singapura ke Vietnam. Mark Teo yang merupakan seorang jurugambar akan mewakili Malaysia dalam siri jelajah ini.
Juga sebagai sebahagian daripada siri jelajah tersebut, Naza Premira turut mengadakan pertandingan sosial media di mana peserta perlu mengira jumlah ikon khas atau pelekat digital yang muncul dalam laman Facebook dan Instagram Vespa Sprint Adventure (VSA). Peserta dengan jawapan yang betul akan memenangi model skala 1/6.
Selain itu, orang ramai juga perlu mengira jumlah kemunculan animasi istimewa dalam siri web Vespa Sprint Adventure untuk berpeluang memenangi hadiah seperti percutian 4 hari 3 malam ke Bali, baju T edisi terhad dan juga model skala 1/6.
No Comment