Chevrolet Cruze – Cerita Tentang Masa Lalu, Hari Ini dan Masa Depan
Chevrolet Cruze generasi pertama yang kita kenali hari ini mempunyai latar belakang yang boleh dikatakan agak menarik. Walaupun sedan kompak itu hanya diperkenalkan pada 2008 sebagai pengganti Cobalt yang sudah lanjut usianya, nama ‘Cruze’ sebenarnya sudah digunakan sejak 2001 pada model hatchback berasaskan Suzuki Ignis menerusi usahasama dengan pengeluar dari Jepun itu.
Dipasang dan dijual di Negara Matahari Terbit, Cruze yang asal boleh didapati dengan enjin 1.3 dan 1.5 liter yang dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan. Hatchback yang kelihatan sedikit tinggi itu didatangkan dengan pacuan roda hadapan sebagai standard, namun pelanggan mempunyai pilihan untuk memesan model pacuan semua roda.
Tidak seperti hatchback itu, Cruze sedan (diberi kod J300) dibangunkan, direka dan dikeluarkan sebagai model global. Ia dipasang di beberapa negara termasuk Korea Selatan, Russia, Kazakhstan, Thailand, India, Vietnam dan juga Brazil namun Amerika Utara, di mana jenama Chevrolet dilahirkan, hanya menerima kemasukan model itu pada tahun 2011 selepas kerja menaik taraf yang bernilai USD350 juta di kilang General Motors di Ohio siap.
Di Malaysia pula, Cruze pertama kali dilancarkan sebagai model CBU Korea pada 2010 oleh pengedar sah Chevrolet iaitu Naza Quest Sdn Bhd. Sedan itu menampilkan enjin Ecotec 1.8 liter dengan 140 hp dan 176 Nm serta transmisi automatik enam kelajuan dengan Shiftronic. Ia diikuti oleh versi facelift dua tahun selepas itu dan varian Sport pada 2015. Ia mendapat kit badan sepenuhnya, rim 17 inci serta Performance Pack yang merangkumi penapis udara berprestasi tinggi untuk peningkatan kuasa dan respon pendikit yang lebih baik.
Cruze generasi kedua sudah pun dilancarkan pada tahun lepas, dan sejujurnya sedan segmen C itu tampak lebih berpotensi terutamanya jika dilihat dari segi rekaan yang lebih sesuai untuk statusnya sebagai sebuah model pasaran global. Antara peurbahan yang paling besar adalah enjin pengecas turbo 1.4 liter yang diperbuat dari aluminium yang menghasilkan 153 hp dan 240 Nm tork.
Model terbaru itu masih belum tiba di Malaysia namun peluangnya untuk hadir dan bersaing dalam pasaran segmen C tempatan yang sengit ini tampak cerah, itu pun jika rancangan strategik Naza Quest untuk memperkukuhkan perniagaannya berjalan lancar.
No Comment