Cub Prix Grand Finale: Fazli Tak Sabar Beraksi di Taiping
Pelumba legenda Cub Prix, Ahmad Fazli Sham dari pasukan Petronas Yamaha Maju Motor akui cukup teruja dan tidak sabar untuk turun beraksi menghadapi perlumbaan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 yang akan berlangsung di kampung halamannya di Taiping, Perak pada 19 dan 20 November ini.
“Minggu ini merupakan minggu yang sibuk bagi saya. Majlis Perbandaran Taiping, Kerajaan Negeri Perak dan juga Kelab Peminat Cub Prix mengadakan pelbagai aktiviti dan program sebagai tanda sokongan dan kerjasama untuk menjayakan perlumbaan di Taiping ini, Jadi saya berharap mampu meraih kejayaan pada perlumban minggu ini” jelas pelumba berusia 34 tahun itu ketika ditemui selepas sidang media Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bersama Majlis Perbandaran Taiping (MPT), hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua MPT, Dato’ Hj Abd Rahim Md Ariff dan Ahli Majlis MPT, Dato Ton Zailani serta pelumba-pelumba kelahiran Taiping.
Fazli memulakan karier sebagai pelumba profesional sejak 13 tahun lepas dan merupakan antara pelumba paling berpengalaman yang masih aktif berlumba pada hari ini. Sepanjang penglibatannya di dalam arena permotoran, Fazli cukup dikenali dan merupakan antara pelumba yang mempunyai paling ramai peminat.
Fazli mempunyai kenangan manis di Taiping apabila memulakan aksi di pentas Cub Prix sebagai pelumba persendirian pada tahun 2003 dan mencetak nama selaku pelumba persendirian pertama yang berjaya memenangi perlumbaan kelas terbuka hanya pada penampilan pertama.
Sehingga ke hari ini, Fazli telah bergelar juara kelas perdana sebanyak dua kali (2007 dan 2008) dan juga gelaran Underbone 125cc Asia pada tahun 2004 dan 2005. Kejayaan Fazli turut menjadi inspirasi kepada ramai remaja untuk menjadi pelumba profesional pada hari ini.
“Perlumbaan minggu ini merupakan satu pusingan lengkap dalam karier saya. Saya tidak pasti lagi perjalanan pada musim hadapan namun saya berharap dapat meneruskan perlumbaan dalam kategori SuperCub 150cc yang akan menggantikan kelas 130cc bagi melengkapkan perjalanan saya dari era 2-lejang ke 4-lejang pada hari ini. Sebagai pelumba paling senior di Cub Prix ketika ini, saya telah beraksi dalam tiga generasi pelumba dari dulu sampai sekarang.
“Saya mula menimba pengalaman dalam dunia perlumbaan ketika era pelumba seperti Wazi Abdul Hamid dan Chia Tuck Cheong, kemudian berhadapan generasi kedua yang juga merupakan rakan seangkatan seperti Ahmad Fuad Baharudin. Pada hari ini, saya masih berada di litar dan berhadapan dengan pelumba-pelumba muda yang merupakan generasi ketiga dalam arena Cub Prix,” imbas Fazli.
Pada masa sama, naib juara keseluruhan CP130 2016 di belakang rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayuddin itu berharap perlumbaan minggu ini akan dimeriahkan dengan jumlah kehadiran penonton tertinggi.
“Sekurang-kurangnya lima pelumba kelahiran Taiping akan beraksi termasuk adik saya, Ahmad Fazrul. Ini tidak termasuk pelumba persendirian kategori Petronas Sprinta Pro-Am Cup. Jadi kami berharap faktor ini dapat menarik kehadiran peminat yang ramai, mungkin sekitar 50 ribu pengunjung atau lebih. Faktor ini mungkin mampu menjadi penanda aras agar Taiping kekal dalam kalendar kejuaraan pada musim 2017 nanti.
No Comment