Cub Prix Taiping Perlumbaan Terakhir CP130
Pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Taiping, Perak pada 19 dan 20 November ini bakal menjadi perlumbaan terakhir bagi kategori CP130 apabila kategori ini ditukar kepada perlumbaan SuperCub 150cc bermula musim 2017.
Selepas lapan tahun kategori ini menjadi perlumbaan kelas perdana bagi siri kejuaraan kebangsaan, persaingan merebut gelaran juara keseluruhan dimiliki gabungan pelumba senior dan remaja disamping turut melahirkan ramai bakat-bakat muda tempatan.
Ahmad Fuad Baharudin muncul pelumba paling cemerlang apabila berjaya menggenggam dua gelaran keseluruhan dengan muncul pelumba pertama meraih gelaran CP130 pada tahun 2009 diikuti gelaran kedua pada tahun 2013. Ahmad Fuad turut mencatat nama sebagai pelumba pertama memenangi tiga gelaran termasuk gelaran Expert pada tahun 2002.
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sensasi tersendiri apabila memenangi gelaran keseluruhan dan mencetak nama selaku pelumba termuda memenangi gelaran kelas perdana pada tahun 2010.
Dua kejayaan jentera Yamaha itu bagaimanapun disekat oleh Norizman Ismail dan Azlan Shah Kamaruzaman yang memenangi gelaran CP130 pada tahun 2011 dan 2012.
Fuad mengembalikan gelaran kepada kem Yamaha apabila muncul juara keseluruhan pada tahun 2013 manakala Mohd Zaqhwan Zaidi membawa kembali gelaran keseluruhan kepada jentera Honda pada tahun 2014 sebelum menyerahkan gelaran kepada Ahmad Fazrul Sham pada tahun 2015.
Kira-kira sebulan lepas, pelumba muda sensasi negara, Kasma Daniel Kasmayuddin memahat namanya selaku juara termuda CP130 memadam rekod Hafizh sebagai juara keseluruhan CP130.
Secara keseluruhan, jentera Yamaha memenangi lima gelaran manakala Honda dengan tiga gelaran.
Promoter Kejuaraan Cub Prix, Safe Aim Mutual menjelaskan perancangan selama dua tahun dilakukan untuk menggantikan kategori CP130 ini.
“Evolusi yang berlaku di dalam Kejuaraan Cub Prix merupakan gambaran terhadap perkembangan industri motosikal negara. Untuk terus bertahan dalam industri yang sentiasa melakukan perubahan dalam teknologi, pertukaran ke kelas 150cc tidak dapat dielakkan. Namun, perubahan ini memerlukan perancangan rapi selama dua tahun bagi memberi peluang kepada pasukan-pasukan melakukan persediaan secukupnya untuk menghadapi cabaran baharu ini,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No Comment