EcoBoost Track Day Experience Buktikan Keupayaan Enjin Berkapasiti Kecil Ford
Ford Malaysia baru-baru ini menganjurkan ‘Ford EcoBoost Track Day Experience’ di mana pihak media berpeluang untuk menguji kuasa dan prestasi teknologi enjin EcoBoost.
Rangkaian enjin tersebut menjanjikan kuasa yang mengujakan, penjimatan bahan api dan pelepasan emisi yang baik berbanding enjin aspirasi biasa bersesaran lebih besar. Semua ini dicapai menerusi teknologi pancitan terus di mana sejumlah bahan api bertekanan tinggi disuntik ke dalam kebuk pembakaran dalam jumlah yang tepat.
Diadakan di Putrajaya Recreational Airstrip, kami menguji semua model EcoBoost yang ditawarkan di pasaran Malaysia. Ia merangkumi kenderaan penumpang, SUV dan jentera berprestasi tinggi menerusi beberapa aktiviti.
Dalam aktiviti ‘RM20 Dare’, peserta dicabar untuk bergerak sejauh 100 km dari kompleks membeli-belah D’Pulze di Cyberjaya ke Port Dickson berbekalkan hanya dengan bahan api berjumlah RM20. Walaupun memandu pada kelajuan tinggi, kesemua model berjaya tiba ke destinasi dengan minyak masih berbaki.
Kami juga berpeluang menguji aspek pecutan, membrek dan mengelak model-model yang sering digunakan sebagai kenderaan keluarga iaitu S-Max, Kuga dan Mondeo di laluan sepanjang 300 m di Putrajaya.
Ujian Ketepatan juga diadakan di sebuah litar ‘autocross’ khas bagi menguji aspek pengendalian serta kestabilan Fiesta dan Focus. Talaan suspensi yang tepat nyata memberi kelebihan kepada kedua-dua model hatchback tersebut, terutamanya Fiesta di mana saiz badannya yang kompak dilihat sangat membantu dalam litar yang kecil.
Hari yang penuh aksi itu diakhiri dengan aktiviti ‘EcoBoost Unboxing’ di mana media membuka sebuah kotak besar bersaiz 18X6 kaki yang mengandungi sebuah Mustang versi EcoBoost 2.3 liter. Walaupun tidak dapat memandu sendiri kereta yang menjadi kegilaan ramai itu, pengalaman berada di tempat duduk bersama dengan pemandu profesional cukup bagi kami merasai kehebatan teknologi EcoBoost.
No Comment