McLaren Akan Hasilkan Kereta ‘Hyper-GT’
McLaren telah mengesahkan yang ia menghasilkan kereta ‘Hyper-GT’ pertama di dunia. Model yang diberi kod BP23 yang bermaksud ‘Bespoke Project 2’ dengan tiga tempat duduk itu akan dibangunkan oleh McLaren Special Operations (MSO) dan akan mula dijual pada 2019.
Namun begitu, seperti model F1 yang digilai ramai, pengeluaran BP23 terhad kepada 106 unit sahaja di seluruh dunia dan percaya atau tidak, semuanya telah pun ditempah.
Menurut CEO McLaren Automotive iaitu Mike Flewitt, BP23 diklasifikasikan sebagai ‘Hyper-GT’ kerana ia direka untuk perjalanan jarak jauh dengan pemanduan mengujakan yang sememangnya sudah menjadi trademark McLaren.
BP23 akan menampilkan badan yang diperbuat dari gentian karbon yang dipadankan dengan enjin hibrid paling berkuasa pernah dihasilkan McLaren. Bukan sahaja kuasa, setiap aspek juga akan diperhalusi bagi memastikan kereta itu mampu membawa tiga penumpang dalam keadaan selesa.
Pelanggan yang telah pun menempah BP23 akan bekerjasama dengan MSO bagi menghasilkan kereta dengan warna dan kemasan pilihan masing-masing.
No Comment