Nissan Navara Kenderaan Rasmi Acara Rainforest Challenge 2016
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) sekali lagi kembali ke kancah aktiviti off-road apabila mengumumkan penyertaan dalam acara Rainforest Challenge (RFC), di mana Nissan Navara dipilih sebagai kenderaan rasmi.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Tan Keng Meng pada majlis penyerahan kunci yang diadakan di ibu pejabat ETCM hari ini. Turut hadir ialah Pengasas dan Pengarah Acara Rainforest Challenge (RFC), Luis J.A. Wee.
Tahun ini, ETCM menyediakan tiga unit Navara dilengkapi enjin YD25DDTi yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 163PS dan tork 403Nm/2,000rpm. Dua unit ialah varian 2.5L SE dengan transmisi automatik 7-kelajuan manakala satu lagi unit ialah 2.5L SE dengan transmisi manual 6-kelajuan. Trak pikap tersebut adalah standard dan hanya dipasang dengan peralatan untuk pertandingan seperti bull bar, lampu sorot halogen, winch, bar perlindungan, kit kecemasan, tayar ekstrem, suspensi dan snorkel.
“ETCM sangat berbesar hati untuk menyokong acara 4×4 yang cukup terkenal di seluruh dunia ini. Ia menyediakan satu platform terbaik untuk menunjukkan prestasi Nissan Navara dalam mengharungi laluan mencabar, selain sebagai kenderaan rasmi bagi membantu operasi keseluruhan RFC,” kata Tan.
Acara RFC 2016 edisi ke-20 akan diadakan mulai 24 November hingga 5 Disember 2016. Ia dimulakan dengan pendataran peserta pada 24 haribulan dan acara media pada 25 November di Publika Shopping Gallery. Ia kemudian diikuti dengan pemeriksaan teknikal dan sesi pelepasan di Dataran Merdeka pada 26 November. RFC 2016 akan diteruskan di Pahang, bermula di Kuantan untuk pembukaan Peringkat Prolog Khas pada 27 haribulan, diikuti dengan pengembaraan sebenar selama sembilan hari.
Disifatkan sebagai antara ‘Perlumbaan Motor Paling Sukar di Dunia’, Malaysia menganjurkan acara akhir perlumbaan off-road 4×4 Siri Global RFC dengan penyertaan dari 30 buah negara.
No Comment