Perhimpunan Vespa Terbesar di Publika Hujung Minggu Ini
Bagi menyambut ulangtahun Vespa yang ke-70, pengedar sah jenama itu di negara ini iaitu Naza Premira akan menganjurkan sebuah karnival yang dikenali sebagai “Perhimpunan Terbesar Vespa”.
Ia akan diadakan di Publika Shopping Gallery pada Sabtu, 19 November 2016, dari 11 pagi hingga 9.30 malam.
Kawasan Boulevard di Publika akan menempatkan beberapa buah Vespa klasik lengkap dengan sejarahnya tersendiri, serta satu ‘photo wall’ a la kopitiam yang mempamerkan sejarah skuter itu di negara ini.
Selain itu, satu konvoi besar-besaran yang melibatkan kira-kira 500 peserta juga akan diadakan bermula dari Naza Automall, ke beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dan akan berakhir di Publika.
Peserta akan diberi ruang parkir yang mencukupi berdekatan dengan Publika, di mana tiga model ulangtahun ke-70 Vespa iaitu GTS, PX dan Primavera akan dipamerkan. Bukan itu sahaja, dua model 2016 iaitu Sprint ABS dan Primavera ABS serta Sprint Adventure juga akan dipertunjukkan.
Pengunjung turut akan dihiburkan dengan persembahan oleh beberapa artis tempatan seperti Amy Search, Maha Jefry, Tasha Aleia serta Joey G dan Nabila Huda. Gerai makanan dan aktiviti-aktiviti untuk keluarga juga akan disediakan. Yang paling menarik, peserta juga berpeluang untuk membawa pulang sebuah Vespa S125 melalui cabutan bertuah.
Jadi tunggu apa lagi, bawalah seisi keluarga anda ke Perhimpunan Terbesar Vespa pada hujung minggu ini.
No Comment