Petronas Syntium SE: Minyak Enjin Eksklusif untuk Proton
Proton, dengan kerjasama Petronas hari ini melancarkan rangkaian eksklusif minyak enjin Petronas Syntium SE untuk kereta-keretanya. Minyak enjin ini diformulasi khas untuk mengoptimumkan prestasi kereta dan pada masa yang sama mengurangkan kos pemilikan kereta untuk jangka masa panjang.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah YBhg Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Zubair Abdul Razak Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (M) Sdn Bhd (PLMM).
Rangkain minyak enjin tersebut ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu Syntium 3000 (5W-30) fully synthetic, Syntium 800 (10W-30) semi-synthetic dan Syntium 500 (15W-40) yang berasaskan mineral.
Produk-produk ini boleh didapati di semua pusat servis Proton terpilih. Servis berkala bagi kereta Proton adalah 10,000 km dan ini digunapakai untuk semua jenis minyak enjin, termasuk minyak enjin Petronas Syntium SE baharu.
“Dengan adanya rangkaian minyak enjin Petronas Syntium SE yang eksklusif, para pelanggan kami dapat menikmati lebih nilai apabila menghantar kereta mereka untuk diservis di mana-mana pusat servis Proton yang diiktiraf. Tambahan pula, mereka akan mengalami pemanduan yang lebih baik dari segi prestasi kereta, pada kos penyelenggaraan yang lebih rendah,” kata Dato’ Fuaad.
Di bawah kerjasama ini pemilik kereta Proton juga berpeluang menikmati penjimatan sehingga 20% untuk servis yang berikutnya di pusat servis Proton Edar.
No Comment