TCR Asia Series Dedah Program Lanjutan Untuk Musim 2017
Selepas berakhirnya pusingan di Macau pada 19 dan 20 Oktober lalu, TCR Asia Series telah mendedahkan kalendar untuk musim ketiga yang menyaksikan peningkatan dari segi jumlah pusingan yang akan diadakan serta siri ‘standalone’ yang tidak termasuk dalam kalendar TCR International Series.
“Kami berbangga untuk menjadi kejohanan serantau pertama di luar TCR International Series dan akan terus maju di rantau Asia dengan konsep yang telah terbukti berjaya di seluruh dunia,” kata David Sonenscher, Ketua Pegawai Eksekutif WSC Asia Limited.
Musim baru kejohanan tersebut akan bermula di Sepang yang telah dua kali dipilih sebagai pusingan pembukaan TCR Asia Series dengan sesi latihan selama dua hari bagi membolehkan pasukan bersedia untuk menghadapi cabaran.
Dari Sepang, siri perlumbaan tersebut akan diteruskan di Korea Selatan, sebelum ke Thailand di mana perlumbaan akan diadakan dua kali iaitu di Litar Antarabangsa Chang dan litar jalan raya Bangsaen. TCR Asia Series kemudian akan ke China, di mana litar Zheijang menjadi tuan rumah buat pertama kali. Pusingan terakhir pula akan berlangsung di Shanghai.
No Comment