Volkswagen Beetle Dune Edisi Terhad Kini di Malaysia
Selain dari Passat B8, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut melancarkan Beetle Dune yang diinspirasikan oleh kereta ‘buggy’ lagenda Amerika yang cukup popular pada tahun 1960 dan 1970-an.
Namun, Beetle lasak yang dipasang di Mexico ini terhad kepada 50 unit sahaja di Malaysia dan setiap satu dijual pada harga RM179,900.
Beetle Dune dikuasakan oleh enjin 1.4L TSI yang mampu menghasilkan 150 PS dan 250 Nm. Enjin pengecas turbo itu dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan.
Berbanding Beetle biasa, Beetle Dune mempunyai jarak kelegaan tanah yang dinaikkan sebanyak 10mm untuk kegunaan yang lebih lasak. Gaya signaturnya diserlahkan melalui spoiler belakang, jalur hitam dan kemasan sisi serta bampar hadapan dan belakang yang direka semula. Rim aloi ‘Canyon’ bersaiz 18 inci melengkapkan lagi penampilan unik kereta tersebut.
Hadir dalam satu warna sahaja iaitu Sandstorm Yellow, Beetle Dune juga dilengkapi dengan lampu depan Bi-Xenon, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan lampu kabus hadapan statik.
No Comment