Volkswagen Passat Baharu Dilancarkan – Harga Dari RM159,900
Volkswagen Passat generasi kelapan (B8) telah dilancarkan secara rasmi oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini.
Sedan segmen D itu didatangkan dalam tiga varian iaitu Trendline (RM159,900), Comfortline (RM179,900) dan Highline (RM198,900). Ia dipasang di kilang Volkswagen yang terletak di Pekan, Pahang.
Dari aspek rangkaian kuasa, varian Trendline dan Comfortline menampilkan enjin turbo 1.8 TSI yang menghasilkan 180 PS dan 250 Nm tork, yang kemudiannya disalurkan ke tayar melalui kotak gear DSG tujuh kelajuan.
Varian Highline pula mendapat 220 PS dan 350 Nm tork dari 1,500 hingga 4,400 rpm dari enjin turbo 2.0 TSI yang dipadankan denga kotak gear DSG enam kelajuan. Dengan ini, Passat Highline mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dengan bacaan penggunaan bahan api sekitar 6.2l/100km.
Kecekapan penggunaan bahan api Passat dibantu oleh ciri-ciri seperti fungsi start/stop, brek janaan semula tenaga dan rekaan badan yang aerodinamik. Ia juga menggunakan tayar dengan tahap halangan pusingan yang rendah untuk penjimatan yang lebih menyeluruh.
Passat baharu dilengkapi dengan Paparan Info Aktif yang bertindak sebagai kluster instrumen digital beresolusi tinggi yang interaktif dan boleh diubahsuai. Mod pemanduan pula didatangkan dalam lima tetapan iaitu Classic, Eco Mode, Driving Assistance Mode, Fuel Consumption Mode dan Navigation Mode.
Ruang kabinnya juga didatangkan dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin (KESSY), stereng kulit pelbagai fungsi dengan paddle shifter, cermin pandang belakang anti silau, kawalan suhu tiga zon serta Park Assist yang membolehkan kenderaan memasuki ruang parkir secara automatik.
Ciri-ciri lain termasuklah pilihan ketersambungan yang luas menerusi paparan skrin sentuh yang juga menyokong paparan kamera undur, menu kenderaan dan sistem infotaimen. Sistem MirrorLink pula memudahkan penyambungan telefon pintar.
Aspek keselamatan pula terdiri dari Lane Assist, Dynamic Chassis Control (DCC), Automatic Post-Collision Braking System dan Electronic Differential Lock (XDS). Enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Hill-hold Control juga disertakan.
Untuk keperluan keselamatan kanak-kanak pula, Passat dilengkapi dengan tingkap kuasa ‘anti-pinch’ dan cagak Isofix untuk tempat duduk kanak-kanak.
Volkswagen Passat B8 boleh didapati dalam tujuh warna iaitu putih (Pure White), hitam (Deep Black), perak (Reflex Silver), kelabu (Indium Grey), merah (Crimson Red), coklat (Black Oak Brown) dan biru (Harvard Blue. Ia dilindungi oleh jaminan pengeluar selama lima tahun serta penyelenggaraan percuma juga selama lima tahun untuk pendaftaran yang dibuat sebelum akhir tahun ini.
No Comment