Batmobile LEGO Muncul di Detroit Auto Show
Detroit Auto Show yang diadakan setiap awal tahun biasanya menampilkan barisan kenderaan baharu sama ada dalam bentuk konsep ataupun yang sudah sedia untuk memasuki siri pengeluaran.
Apa yang anda lihat ini adalah sedikit berlainan dengan mana-mana kenderaan yang muncul di pertunjukkan itu kerana ia bukan sebuah konsep dan ia bukan untuk dijual. Ia adalah Batmobile yang diperbuat sepenuhnya dari blok Lego.
Dihasilkan oleh Chevrolet, model Batmobile ini merupakan sebahagian daripada promosi filem The Lego Batman Movie yang akan mula ditayangkan di Amerika Syarikat bermula 10 Februari ini.
Selain itu, Batmobile ini juga akan membuat penampilan di dalam kempen “Real People, Not Actors” yang dianjurkan oleh Chevrolet.
Jika anda tertanya-tanya apa kaitan Batman dengan pengeluar dari Amerika Syarikat itu, filem Batman pada tahun 1989 arahan Tim Burton yang dibintangi oleh Micheal Keaton sebenarnya menggunakan Batmobile yang dibina dengan komponen Chevrolet Impala dan juga enjin Chevrolet V8 yang diubah suai.
Berikut pula adalah beberapa fakta menarik tentang Batmobile Lego ini:
- Ia mempunyai ukuran tinggi 210.8 cm, panjang 518.1 cm dan lebar 281.9 cm.
- Berat keseluruhan adalah 769 kg. Berat setiap roda adalah kira-kira 45 kg.
- Rangka dalaman diperbuat dari tiub aluminium sebesar 8 meter persegi dengan berat sebanyak 128 kg.
- Jumlah blok Lego digunakan untuk membina Batmobile: 344,187
- Jumlah warna blok Lego yang digunakan: 17
- Mengambil masa sebanyak 222 jam untuk direka dan 1,833 jam untuk dibina
- Direka dan dipasang oleh Lego Master Builders di bengkel Lego di Enfield, Connecticut
No Comment