BMW 4 Series 2017 Tampil Dengan Rupa Dan Suspensi Baharu
Dengan angka jualan mencecah 400,000 unit sejak ia diperkenalkan pada 2013, BMW 4 Series nyata mempunyai tarikan tersendiri. Bagi tahun 2017, kereta yang boleh didapati dalam bentuk Coupe, Gran Coupe dan Convertible ini kini menampilkan beberapa penambahbaikan visual serta sistem suspensi yang dipertingkatkan.
Berbanding dengan model terdahulu yang menampilkan lampu xenon, 4 Series baharu didatangkan dengan lampu LED (depan dan belakang) yang direka semula serta lampu kabus LED sebagai standard. Bampar depan dan belakang juga diberi sentuhan segar.
Di dalam kabin, 4 Series menampilkan kemasan hitam berkilat dan krom, serta jahitan berganda di atas papan pemuka. Pelanggan boleh memilih daripada tiga warna upholsteri dan tiga kemasan papan pemuka.
Bukan itu sahaja, sedan itu juga ditawarkan dengan dua warna baru iaitu Sunset Orange dan Snapper Rocks Blue, serta empat rekaan rim berbeza mengikut pakej Advantage, Sport Line, Luxury Line atau M Sport.
Dari segi kelengkapan, BMW menawarkan pilihan sistem navigasi Professional dengan pad kawalan yang lebih mesra pengguna serta Multifunctional Instrument Display dengan beberapa pilihan paparan mengikut mod pemanduan yang dipilih.
Model Coupe dan Gran Coupe dilengkapi dengan talaan suspensi yang lebih keras bagi pengendalian yang lebih sporty tanpa menjejaskan aspek keselesaan. Ia boleh didapati pada semua varian dengan suspensi standard, M atau Adaptive. Bukan itu sahaja, varian 430i, 430d dan ke atas kini didatangkan dengan tayar berprestasi tinggi sebagai standard.
BMW M4
Tidak banyak perubahan bagi model 4 Series yang paling berkuasa ini. Ia hanya menampilkan lampu LED adaptif sebagai standard, lampu LED belakang serta beberapa penambahbaikan di dalam kabin. Ia juga boleh didapati dengan sistem navigasi Professional serta ciri-ciri ConnectedDrive yang lain.
No Comment