MINI Countryman Terima Sentuhan Ajaib John Cooper Works
Selepas memperkenalkan model Countryman generasi kedua pada Oktober tahun lalu, MINI kembali pada tahun ini dengan versi yang paling laju iaitu John Cooper Works Countryman. Model yang ditala khas bagi tujuan prestasi dan pengendalian itu bakal membuat kemunculan di Shanghai Motor Show pada bulan April tahun ini.
Seperti John Cooper Works Clubman, crossover ini juga mempunyai 231 hp dan 350 Nm tork dari enjin 2.0 liter turbo yang boleh dipadankan sama ada dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan. Ia juga mempunyai sistem pacuan empat roda ALL4 dan Launch Control bagi varian automatik.
Tanpa mengira transmisi yang dipilih, JCW Countryman mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.5 saat, kira-kira 0.8 saat lebih pantas dari Cooper S Countryman ALL4.
Bagi mengendalikan peningkatan kuasa tersebut, JCW Countryman didatangkan khas dengan suspensi sport, tayar 18 inci serta brek sport dari Brembo. Kesemuanya ditala khas berdasarkan pengalaman luas JCW dalam berlumba.
Selain itu, ia juga menampilkan kit aerodinamik JCW yang merangkumi lubang ambilan udara yang besar pada bampar hadapan. Di dalam, JCW Countryman dilengkapi dengan tempat duduk sport, stereng pelbagai fungsi, paddle shifter bagi varian automatik serta sistem infotainmen MINI Connected.
No Comment