Perodua Rekod Perkongsian Pasaran Sebanyak 35.7% Untuk 2016
Walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi, Perodua berjaya mengharungi 2016 dengan pegangan bahagian pasaran tertinggi dalam sejarahnya dengan catatan jualan melebihi 207,100 unit kenderaan atau kira-kira 35.7 peratus dari jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 579,600 unit.
“Walaupun 2016 merupakan tahun yang mencabar, kami gembira untuk mengumumkan bahawa semua model kami; dari Bezza kepada Alza; adalah nombor satu dalam kategori masing-masing,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Dilancarkan pada bulan Julai tahun lalu, Bezza merekodkan angka jualan melebihi 36,000 unit sekaligus meletakkannya sebagai sedan kompak segmen A nombor satu bagi 2016.
Dari aspek TIV, Perodua menjangkakan pertumbuhan sebanyak 2 peratus ke 590,000 unit bagi 2017, berbanding 579,600 unit pada tahun lalu. Berdasarkan unjuran ini, syarikat itu mensasarkan untuk menjual sebanyak 202,000 unit kenderaan sepanjang tahun ini sekaligus menguasai 34 peratus dari bahagian pasaran.
Jumlah kenderaan yang dieksport juga meningkat sebanyak 6 peratus iaitu 4,700 unit pada 2016, berbanding 4,400 unit pada 2015. 60 peratus daripada jumlah itu dihantar ke Indonesia.
Perodua juga akan lebih fokus kepada aspek pasca jualan (after sales) untuk menambah pendapatan syarikat. Menurut Aminar, sebanyak 2 juta kenderaan menggunakan khidmat pusat servis Perodua di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Pertumbuhan itu membolehkan Perodua mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM682 juta berbanding RM600 juta pada 2015.
Bagi pengeluaran pula, Perodua menghasilkan 213,000 unit kenderaan tahun lalu berbanding 229,000 unit pada tahun sebelumnya. Pengurangan dalam pengeluaran adalah disebabkan oleh permintaan yang menurun bagi kenderaan pada 2016.
No Comment