Triumph Street Triple 2017: Kini Dengan Enjin 765cc Baharu
Pejam celik pejam celik, sudah 10 tahun Triumph Street Triple berada di pasaran. Untuk 2017, naked bike kegemaran ramai itu kini dilengkapi dengan enjin yang lebih besar serta pelbagai ciri elektronik yang dipertingkatkan.
Dibangunkan dengan hasil dari pengalaman dalam bidang perlumbaan, enjin ‘Daytona’ tiga silinder bersesaran 765 cc itu dilengkapi dengan 80 komponen baharu termasuk bore dan stroke yang lebih besar, piston dan engkol baharu serta salur aluminium Nikasil untuk prestasi low dan mid-range yang lebih baik.
Street Triple S
Dalam bentuk paling asas iaitu Street Triple S, enjin tersebut menghamburkan 113 PS dan 73 Nm. Ia lebih ringan dari model sebelum ini dengan tayar baharu, suspensi Show dan swingarm ‘gullwing’ baharu. Varian ini juga dilengkapi dengan sistem pendikit Throttle-by-Wire, dua mod tunggangan (Road dan Rain), ABS serta Traction Control.
Street Triple R
Varian pertengahan ini dikatakan dengan gabungan sempurna antara kuasa dan prestasi. Ia mempunyai 118 PS dan 77 Nm, empat mod tunggangan (Road, Rain, Sport dan Rider), suspensi Showa boleh laras sepenuhnya dan angkup brek depan Brembo.
Ia juga boleh didapati dalam versi Low Ride Height (LRH) yang didatangkan dengan tetapan suspensi dan tempat duduk yang tersendiri.
Street Triple RS
Varian tertinggi dalam barisan Street Triple ini menampilkan 123 PS dan 77 dari enjin yang sama, peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding sebelum ini. Selain daripada suspensi boleh laras dan angkup brek Brembo, ia juga didatangkan dengan monoshock belakang boleh laras, mod tambahan ‘Track’, pemasa lap, Quickshifter serta tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP.
Street Triple menampilkan kotak gear dengan nisbah gear pertama dan kedua yang lebih rendah untuk pecutan yang lebih mengujakan serta geometri yang disemak semula untuk penukaran gear yang lebih lancar. Tambahan pula, varian R dan RS turut menampilkan sistem ekzos baharu dan sistem klac Slip-and-Assist.
Selain itu, kedua-dua varian itu juga dilengkapi dengan instrumen TFT 5 inci boleh laras. Ia mempunyai tiga gaya paparan (enam untuk RS), bergantung kepada mod tunggangan yang dipilih, serta mod kontras ‘High’ dan ‘Auto’ untuk paparan yang lebih jelas.
Varian S pula hanya mendapat skrin LCD dengan paparan maklumat dari komputer.
No Comment