VIDEO: Honda Perkenal Teknologi Riding Assist di CES 2017
Menunggang motosikal dengan perlahan bukanlah semudah yang dijangka, dan jika tidak berhati-hati, anda mungkin akan tumbang. Bagaimanapun, dengan teknologi Riding Assist dari Honda, masalah tersebut tidak akan timbul lagi.
Diperkenalkan di pertunjukan Consumer Electronics Show (CES) yang sedang berlangsung di Las Vegas, teknologi tersebut membolehkan motosikal berdiri tegak dengan sendiri tanpa bantuan tongkat.
Menurut Honda, Riding Assist tidak menggunakan gyroscope yang dikatakan terlalu berat dan akan mengganggu pengalaman menunggang. Sebaliknya, ia memanfaatkan teknologi yang pada asalnya dibangunkan untuk peranti mobiliti peribadi Honda iaitu Uni-Cub.
Selain dari berdiri tegak dengan sendiri, motosikal itu juga mempunyai beberapa kebolehan lain. Video di atas menunjukkan kebolehannya untuk bergerak sendiri secara perlahan dan ‘melihat’ kiri dan kanan sebelum keluar melalui pintu.
Honda masih belum mengesahkan bila Riding Assist akan mula digunakan namun melihat kepada demonstrasi yang mengagumkan itu, tidak mustahil teknologi tersebut akan mula diuji di jalan raya sebenar tidak lama lagi.
No Comment