Volkswagen Atasi Toyota Sebagai Pengeluar Kenderaan Terbesar Dunia
Walaupun dilanda skandal Dieselgate yang melibatkan denda sehingga $4.3 bilion, Volkswagen berjaya mengatasi Toyota sebagai pengeluar kenderaan terbesar dunia pada tahun lalu.
Menurut Toyota, tahun 2016 menyaksikan jumlah jualan peringkat global termasuk jenama Lexus, Daihatsu dan Hino meningkat 0.2 peratus sehingga 10.18 juta unit kenderaan. Namun begitu, jumlah itu masih belum cukup untuk mengatasi Volkswagen yang menjual 10.31 juta unit kenderaan sepanjang tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus.
Menariknya, sebahagian besar daripada kejayaan Volkswagen pada tahun 2016 datang dari pasaran China, di mana pengeluar dari Jerman itu berjaya menjual 3.98 juta unit kenderaan, 12.2 peratus lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Malahan, jualan di China begitu memberangsangkan sehingga ia dijangka akan mengatasi pasaran Eropah pada akhir tahun ini. Bagaimanapun di Amerika Syarikat, jumlah jualan Volkswagen menurun sebanyak 2.6 peratus kepada 591,100 unit sahaja.
No Comment